Apabila menyebut nama Dato’ Sri Siti Nurhaliza, ramai mengakui beliau sebagai salah satu figura seni paling lengkap dan berpengaruh yang pernah dimiliki negara. Bermula dari usia muda, Siti menempuh pelbagai cabaran, jatuh bangun serta ujian dalam dunia hiburan sebelum akhirnya mengukuhkan namanya sebagai Biduanita Negara dan ikon seni Malaysia. Ketekunan, disiplin serta keikhlasan beliau dalam berkarya menjadikan perjalanan seninya bukan sekadar tentang populariti, tetapi tentang ketahanan, legasi, dan kesan yang mendalam terhadap industri hiburan tanah air.
Siti Nurhaliza bukan sahaja telah mengecapi segala kejayaan dalam seni, tetapi beliau juga seperti “super hero” sebenar bukan dengan kuasa luar biasa, tetapi dengan keikhlasan dan empati membantu golongan yang memerlukan melalui Yayasan Nurjiwa. Usaha kebajikan ini merangkumi anak-anak yatim, fakir miskin, mangsa bencana, dan mereka yang memerlukan sokongan pendidikan serta kesihatan, membuktikan bahawa legasi Siti melangkaui dunia hiburan semata-mata.

Segala pencapaian, dedikasi, dan nilai kemanusiaan inilah yang diraikan dalam Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza, yang bakal berlangsung pada 10 Januari 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sehari sebelum ulang tahun beliau yang ke-47. Konsert ini bukan sekadar persembahan hiburan, sebaliknya menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan seni Siti bersama peminat setia, rakan industri, dan seluruh pasukan kreatif yang telah menyokongnya selama 30 tahun.
Sambutan luar biasa peminat membuktikan betapa kukuhnya tempat Siti di hati masyarakat apabila tiket konsert telah habis dijual (sold out). Dengan jangkaan kehadiran sekitar 60,000–63,000 penonton, Legacy 30 dijangka menjadi antara konsert paling dinanti dan terbesar dalam sejarah industri hiburan tanah air.
Menjelang konsert, Siti berada dalam fasa latihan intensif. Fokus beliau kini adalah membina stamina, menjaga vokal, serta menjalani latihan tarian dan koreografi. Tarian bukan untuk aksi berlebihan, tetapi bertujuan mencantikkan persembahan agar setiap segmen kelihatan lebih hidup dan dinamik. Latihan bersama penari telah dijalankan lebih sebulan, manakala sesi bersama pemuzik semakin kerap menjelang tarikh persembahan. Walaupun ada rasa debar, ia digantikan dengan keterujaan sebaik sahaja beliau melangkah ke pentas.

Konsert ini dipimpin oleh Aubrey Suwito selaku pengarah muzik, disokong barisan pemuzik profesional. Persembahan turut diperkaya dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan, Orkestra Tradisional Malaysia, dan Artistana Istana Budaya, selain koreografi oleh Naim Syahrazad bersama penari Juxt Studio, menjanjikan persembahan berskala besar dan berkelas.
Lebih istimewa, konsert ini diserikan dengan penampilan artis undangan Cakra Khan, Noh Salleh, Hafiz Suip dan Umairah, yang bakal tampil dalam kolaborasi eksklusif bersama Siti. Kehadiran mereka dijangka memberi warna berbeza serta memperkayakan emosi dan variasi muzik sepanjang persembahan. Pemilihan lagu merangkumi karya ikonik, medley, duet, serta susunan baharu untuk lagu-lagu lama, dengan elemen kejutan sebagai ‘trademark’ Siti.
Skala penganjuran Konsert Legacy 30 melibatkan lebih 2,000 tenaga kerja, merangkumi produksi, kreatif, teknikal, keselamatan dan perubatan. Kos produksi dianggarkan dua hingga tiga kali ganda berbanding konsert tertutup kerana Stadium Nasional Bukit Jalil adalah lokasi terbuka yang memerlukan sistem bunyi dan pencahayaan berskala besar.
Konsert ini dianjurkan bersama oleh SN Legacy Sdn. Bhd. dan Radar Rezki (M) Sdn. Bhd., dengan sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures, serta kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Istana Budaya. Penaja utama termasuk CUCKOO dan Affin Bank, disokong oleh ZEEKR, HABIB, AirAsia dan SOGO.

Bagi Siti Nurhaliza, Legacy 30 bukan tentang membuktikan sesuatu, sebaliknya ruang untuk meraikan peminat setia yang telah bersama beliau sejak awal kerjaya. Ramai antara mereka yang dahulu tidak berpeluang menghadiri konsert kini dapat merasai pengalaman istimewa ini. Itulah momen yang paling bermakna dan menggambarkan legasi tiga dekad beliau dalam industri hiburan Malaysia.
Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza bukan sekadar persembahan, tetapi sebuah perayaan seni, emosi dan kemanusiaan sebuah malam ikonik yang akan terus diingati dalam sejarah muzik tanah air.



