UMNO Sudah ‘Move On’ Sejak PRU-14, Namun Gagal Bangkit — Bekas SUA Najib Razak

KUALA LUMPUR — UMNO sebenarnya telah pun membuat keputusan untuk bergerak ke hadapan tanpa Datuk Seri Najib Razak seawal malam kekalahan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), namun usaha itu gagal membawa kebangkitan semula parti, menurut Datuk Akmar Hisham Mokhles.

Dalam satu tulisan panjang yang dimuat naik di media sosial, Akmar Hisham yang merupakan bekas Setiausaha Akhbar Datuk Seri. Mohd Najib Razak menyindir pihak yang menyarankan UMNO kena “move on” daripada Najib.

Menurut beliau, sejurus keputusan PRU-14 pada 2018, beberapa pemimpin kanan UMNO telah bertemu Najib di kediamannya dan mendesak beliau memikul tanggungjawab atas kekalahan dengan melepaskan jawatan Presiden UMNO. Najib kemudiannya berbuat demikian beberapa hari selepas itu.

Akmar Hisham berkata, sejak perletakan jawatan tersebut, UMNO menyusun langkah baharu tanpa kelibat, bayangan atau campur tangan Najib dalam urusan parti. Malah, katanya, Najib juga tidak pernah mengarahkan UMNO untuk menentang kerajaan atau menggerakkan bantahan jalanan ketika berdepan siasatan dan perbicaraan di mahkamah.

Beliau menambah, Najib menghadapi proses undang-undang secara tertib, tanpa mengajak ahli UMNO turun ke jalan raya atau mencetuskan kekacauan, berbeza dengan episod politik tertentu sebelum ini.

Namun, Akmar Hisham mempersoalkan pencapaian UMNO selepas Najib tidak lagi aktif berpolitik dan dipenjarakan, dengan menegaskan bahawa prestasi parti dalam beberapa pilihan raya kebelakangan ini terus merosot.

Katanya, pada PRU-15 tahun 2022, Barisan Nasional hanya memenangi 30 kerusi Parlimen, manakala prestasi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri disifatkan sebagai yang terburuk dalam sejarah UMNO, termasuk kegagalan mempertahankan kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Terengganu.

Beliau turut menyentuh prestasi UMNO dalam PRN Sabah ke-17 yang menurutnya amat mengecewakan, termasuk kehilangan kerusi DUN Usukan yang dianggap sebagai antara kubu awal parti di negeri itu.

Sehubungan itu, Akmar Hisham mempersoalkan mengapa isu “move on” baru dibangkitkan sekarang sedangkan UMNO, menurutnya, telah membuat keputusan tersebut sejak tujuh tahun lalu tetapi masih gagal bangkit.

Beliau berkata, Najib tidak pernah mencampuri urusan parti selepas tidak lagi menjadi presiden, kecuali memberi pandangan apabila diminta oleh pemimpin tertentu, dan itupun bukan dalam bentuk arahan.

Akmar Hisham mengakui wujud perasaan dalam kalangan ahli UMNO sendiri yang membandingkan prestasi parti hari ini dengan era pentadbiran Najib, bukan kerana bekas perdana menteri itu dipromosikan, tetapi kerana kegagalan kepimpinan semasa mencipta faktor penarik baharu untuk mengembalikan sokongan rakyat.

Menurut beliau, sekiranya UMNO mahu melaksanakan gerakan “move on” fasa baharu, ia perlu disertakan dengan formula yang lebih baik, lebih meyakinkan dan lebih berkesan berbanding pendekatan sedia ada.

Jika tidak, katanya, rakyat akan terus membuat perbandingan, dan UMNO akan terus berdepan kesukaran untuk bangkit semula sebagai parti dominan dalam landskap politik negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat