“Harimau Malaya digantung sehingga 2031… itu berita palsu” – AFC

KUALA LUMPUR- Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menyangkal sekeras-kerasnya spekulasi tular membabitkan pasukan Harimau Malaya digantung sehingga 2031 ekoran pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan negara.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John menegaskan sebarang bentuk hukuman hanya akan dibuat selepas keputusan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) diumumkan nanti.

Beliau berkata, bagi keputusan rasmi mengenai segala perkara, hanya beliau sahaja yang akan mengeluarkan kenyataan rasmi dan bukan daripada pihak lain.

“Kalau keputusan itu daripada AFC, saya yang cakap. Jadi, berita yang tular itu tidak betul.

“Kita masih lagi menunggu keputusan CAS. Kita tidak boleh membuat apa-apa keputusan sehingga kita mendapat keputusan muktamad daripada CAS,” memetik Arena Metro, pada Rabu.

Selain itu, beliau berharap orang ramai dapat menapis terlebih dahulu segala maklumat yang diterima dan tidak mempercayai sumber tidak sahih.

“Semua itu adalah (berita) palsu atau kita katakan spekulasi.

“Sebab daripada pihak kita, keputusan tidak boleh dibuat selagi CAS belum membuat keputusan,” katanya.

Terdahulu, terdapat dakwaan yang disebarkan oleh portal sukan negara jiran menyatakan AFC menarik semula kemenangan diraih Harimau Malaya ketika berdepan Nepal dan Vietnam pada kelayakan Piala Asia 2027.

Malah, dua pasukan itu diberikan kemenangan percuma 3-0 oleh AFC.

Lebih parah, pihak berkenaan turut mendakwa Malaysia bakal digantung daripada menyertai Pusingan Kelayakan Piala Asia 2027 dan 2031.

Ketika ini, tumpuan peminat bola sepak terarah kepada CAS apabila FAM mengemukakan kes selepas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman terhadap badan induk itu, September lalu.

Sementara itu BH melaporkan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berhubung isu pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan Harimau Malaya, hari ini.

Pemangku Presidennya, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menjelaskan tindakan ini dibuat selaras dengan syor Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, selepas jawatankuasa berkenaan menyiapkan siasatan mereka baru-baru ini.

“FAM komited untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

“Langkah ini mencerminkan komitmen FAM terhadap integriti, ketelusan dan pembaharuan tadbir urus demi menjaga kepentingan bola sepak negara,” kata Yusoff.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat