Tak mungkin setuju semua perkara tapi boleh pilih untuk dukung hak kehormatan semua – Pas ucap Selamat Hari Krismas

KUALA LUMPUR – Kita mungkin tidak akan bersetuju tentang semua perkara, namun kita boleh memilih untuk mendengar, memahami dan mendukung hak serta kehormatan semua orang yang bernaung di bawah langit Malaysia yang sama.

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keharmonian tidak akan tercapai melalui keseragaman, namun Pas percaya ia boleh dinikmati melalui kesediaan serta keikhlasan kita dalam menghargai dan melindungi ruang serta tempat untuk semua warga di negara ini.

“Sempena sambutan Hari Krismas tahun ini, Pas mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Kristian dengan harapan ia akan menjadi detik untuk memperkukuh hubungan, memperbaharui harapan dan menegaskan komitmen kepada budaya kasih sayang serta muhibah sesama insan.

“Di Malaysia, kepelbagaian adalah amanah yang mesti dilindungi dengan ikhlas dan bijaksana. Walaupun berlainan agama dan kepercayaan, kita mesti bersatu hati dan impian dalam membina sebuah negara yang adil, selamat dan bermaruah untuk semua.

“Nilai-nilai yang dimuliakan semasa sambutan Krismas – kasih-sayang, kemaafan, tawaduk dan khidmat bakti – adalah juga nilai bersama yang meliputi semua agama dan kepercayaan, termasuk Islam,” ujarnya.

Sewaktu dunia berdepan dengan konflik dan salah faham yang terus memburuk, Malaysia harus kekal sebagai teladan cemerlang kehidupan bersama yang sihat dan matang, saran Ahli Parlimen Kota Bharu itu sambil mengucapkan selamat bercuti dan Selamat Hari Krismas.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat