KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Adam Adli Abd Halim menganggap pelantikan beliau sebagai pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Melaka bersifat sementara.
Hal ini katanya, bagi memberi laluan kepada Pengerusi sebelum ini, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin menyelesaikan proses perundangan yang sedang dihadapi beliau.
“Dengan penuh rasa tanggungjawab, saya telah menerima pemakluman berkait pelantikan sebagai Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Melaka.
“Pelantikan ini adalah keputusan yang dicapai Biro Politik PKR menerusi resolusi bersama dan bersifat sementara, bagi memberi laluan kepada Pengerusi sebelum ini, Datuk Seri Shamsul Iskandar menyelesaikan proses perundangan yang sedang dihadapi beliau.
“Dalam tempoh ini, keutamaan saya adalah untuk memastikan kestabilan dan disiplin organisasi parti terus terpelihara, di samping memperkemas persediaan awal dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Melaka akan datang.
“Saya percaya dengan kerjasama semua peringkat kepimpinan dan akar umbi, parti akan terus bergerak secara tersusun, berdisiplin dan fokus kepada kepentingan rakyat dengan berakarkan prinsip keadilan untuk semua,” kata Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan.



