Rakyat cuma mahu dihormati tanpa campur tangan berlebihan ‘wakil Tuhan’ – DAPSY bidas Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Setiap rakyat hanya mengharapkan cara kehidupan masing-masing dihormati tanpa campur tangan berlebih-lebihan oleh pentadbiran yang bertunjangkan ‘wakil Tuhan’.

Ketua DAPSY Kebangsaan Woo Kah Leong mengingatkan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa agenda reformasi yang diketengahkan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya pun pernah disokong penuh oleh Pas sejak zaman bermulanya reformasi, tidak kiranya ketika zaman Barisan Alternatif atau Pakatan Rakyat.

Jelas Adun Pasir Bedamar itu, reformasi adalah berlandaskan prinsip tadbir urus baik (good governance) dan keadilan sosial (social justice).

“Prinsip sebegini adalah digunapakaikan seluruh umat manusia, tidak mengira sempadan negara, agama dan kaum.

“Adalah amat janggal untuk Presiden Pas menyerang nilai universal demi menjatuhkan musuh politik.

“Saya yakin rakyat berbilang agama menyokong sesama lain untuk mengejar prinsip tadbir urus baik dan keadilan sosial tanpa mengetepikan fahaman agama masing-masing.

“Setiap rakyat hanya mengharapkan cara kehidupan masing-masing dihormati tanpa campur tangan berlebih-lebihan oleh pentadbiran yang bertunjangkan ‘wakil Tuhan’.

“Rakyat Malaysia ingin memastikan semangat pembinaan negara yang berasaskan kepelbagaian dihormati,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.

Semalam, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mengkritik reformasi ‘diimport dari Barat’ oleh kerajaan perpaduan pimpinan Pakatan Harapan (PH), sambil memberi amaran gerakan itu mengheret Malaysia ke arah kemerosotan moral dan sosial.

Hadi berkata, reformasi itu yang bertujuan meningkatkan sistem sosial, politik, ekonomi, dan agama – ‘masih terus bergayut dengan teguh kepada fahaman sekularisme berdasarkan prinsip ciptaan manusia sahaja yang tidak berpandukan hidayah Allah’.

Beliau berkata, agenda pembangunan insan ciptaan Barat bersandarkan ‘jenama menarik’ melahirkan sekularisme dan kandungannya seperti reformasi, progresif, dan liberal.

Justeru Kah Leong mencadangkan Presiden Pas untuk membaca kes mahkamah Che Omar Che Soh untuk lebih mengetahui penghakiman mahkamah tentang apakah itu negara sekular khususnya apabila Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan kemajmukan dan kepelbagaian.

“Tidak perlu untuk koyak apabila mendengar tentang frasa “sekular” atau mengaitkan segalanya dengan Amerika Syarikat.

“Sekular tidak bermaksud kerajaan melarang individu untuk mengamalkan agama masing-masing,” jelas beliau.

Menurut Kah Leong lagi, Malaysia adalah sebuah negara contoh lantaran semua yang mempunyai latar belakang yang berbeza dapat hidup harmoni namun ruang kebebasan rakyat secara lumrahnya menjadi semakin sempit akibat pentadbiran Pas di beberapa negeri.

“Belum sebut lagi bilangan kes dadah yang semakin meningkat di beberapa negeri, yang makan cili akan rasa pedas.

“Saya yakin rakyat berbilang agama menyokong sesama lain untuk mengejar prinsip tadbir urus baik dan keadilan sosial tanpa mengetepikan fahaman agama masing-masing.

“Saya masih ingat Pas beria-ria untuk menarik sokongan bukan Islam dalam muktamar baru-baru ini, namun kenyataan Presiden Pas membuktikan sebaliknya.

“Kalau tidak inginkan reformasi, pastikan pentadbiran di SG4 lebih baik, bukannya lebih teruk,” Ketua Angkatan Muda Harapan itu.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat