KOTA KINABALU – Kabinet baharu Kerajaan Negeri Sabah yang dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor akan dibentuk petang ini.
Kabinet Negeri Sabah baharu ini dibentuk selepas Ketua Menteri Hajiji mengangkat sumpah jawatan bagi penggal kedua sejurus selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 pada awal pagi Ahad.
Difahamkan, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu bagi mempersembahkan barisan Kabinet baharu di Istana Seri Kinabalu, pagi ini.
Kemudian disusuli upacara angkat sumpah jawatan di hadapan TYT yang difahamkan diadakan pada petang nanti.
Hajiji mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri bagi penggal yang kedua setelah GRS bersama beberapa parti dan pemenang calon bebas dikatakan mencapai persetujuan untuk bekerjasama bagi mendapatkan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan baharu.
Difahamkan, GRS yang meraih 29 kerusi pada PRU Sabah Ke-17 membentuk kerjasama dengan UPKO yang mendapat tiga kerusi, STAR (dua kerusi), PH (satu kerusi), KDM (satu kerusi) dan lima ADUN Bebas.



