Lepas majoriti mudah, Pemuda GRS tolak penyertaan BN dalam Kerajaan Sabah

KOTA KINABALU – Pemuda Gagasan Rakyat Sabah (GRS) tegas menolak sebarang gesaan agar Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan GRS Plus yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Dalam kenyataan pada Isnin, Pemuda GRS mengingatkan, Kerajaan GRS Plus telah pun melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri dengan komposisi semasa melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi, Bebas 5 kerusi, UPKO 3 kerusi, Pakatan Harapan 1 kerusi, KDM 1 kerusi selain mendapat sokongan daripada STAR sebanyak 2 kerusi.

Selain itu katanya, kedudukan kerajaan akan bertambah kukuh dengan pelantikan 6 ADUN Sabah dilantik, sekali gus memastikan kestabilan pentadbiran negeri di Dewan Undangan (DUN) Sabah.

“Komposisi ADUN dalam Kerajaan GRS Plus pada ketika ini adalah kukuh, stabil dan mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan negeri tanpa memerlukan sebarang penambahan daripada pihak yang telah ditolak oleh rakyat.

“Keputusan pengundi wajib dihormati. Rakyat Sabah telah memberikan isyarat yang jelas dengan menolak BN daripada berada dalam kerajaan negeri, dan sebarang cubaan untuk menafikan kehendak rakyat disifatkan tidak wajar.

“Pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran. Langkah-langkah sumbang politik yang berlaku pada tahun 2023, yang turut digerakkan oleh BN, tidak seharusnya berulang kerana ia telah menggugat kestabilan politik dan keyakinan rakyat,” kata Pemuda GRS itu.

Tambahan pula katany, BN sendiri secara terbuka sebelum ini enggan bekerjasama dengan GRS, malah telah melancarkan serangan politik yang luar biasa terhadap GRS serta kepimpinan Ketua Menteri. Maka, adalah tidak wajar kini mereka tampil dengan tuntutan untuk disertakan dalam kerajaan.

“Sehubungan itu, Pemuda GRS menegaskan bahawa fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik, memperkukuh pentadbiran serta mempercepatkan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah, bukannya melayani percaturan politik yang tidak berlandaskan mandat rakyat,” tegasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat