Pengundian berjalan lancar, DUN Sulaman jadi tumpuan pertarungan lima penjuru

TUARAN — Suasana pengundian di Pusat Pengundian SK Serusup bagi kawasan DUN Sulaman (N12) berjalan lancar sebaik sahaja pusat mengundi dibuka seawal jam 7.30 pagi.

Aliran keluar masuk di pusat pengundian juga teratur dengan dikawal selia oleh petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memastikan proses berjalan mengikut prosedur.

Rata-rata pengundi juga mula memenuhi kawasan sekolah, termasuk warga emas yang hadir lebih awal untuk menunaikan tanggungjawab mengundi dan mengelakkan kesesakan menjelang tengah hari.

Bagi pengundi warga emas, Siti Aminah, 71, cuaca pagi yang cerah memberi keselesaan untuk keluar mengundi, dan beliau berharap agar kesihatannya terus terpelihara.

“Saya sangat gembira hari ini. Ramai orang dan suasananya meriah. Saya sudah banyak kali mengundi dan kalau ada pilihan raya lagi, saya tetap mahu datang.

“Saya cuma mahu umur panjang dan bantuan yang untuk warga emas” ujarnya.

Seorang lagi pengundi, Nur Farhana Nurzaim, 27, menegaskan bahawa kepimpinan yang berintegriti dan bertanggungjawab amat diperlukan bagi memastikan pembangunan infrastruktur di negeri ini dapat dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat.

“Kita perlukan pemimpin yang betul-betul dapat tunaikan apa yang rakyat mahukan.

“Saya juga berharap pengangkutan awam di Sabah dipertingkatkan sebab kesesakan lalu lintas di sini semakin teruk,” katanya ketika ditemui selesai mengundi.

Bagi Ros Monuai, 63, pengundian kali ini tetap membangkitkan semangatnya sebagai rakyat Sabah, meskipun beliau perlu keluar seawal pagi untuk menunaikan tanggungjawab tersebut.

“Saya keluar rumah pukul 6.30 pagi dan minta orang hantar dari Termendong. Ini kali kedua saya mengundi.

“Mudah-mudahan kita dapat kemenangan dan lebih banyak kemajuan. Sebagai warga emas, saya berharap ada bantuan yang sesuai,” katanya

SPR sebelum ini menjangkakan kadar keluar mengundi lebih tinggi sekiranya cuaca kekal baik sepanjang hari.

Kerusi DUN Sulaman (N12) menyaksikan saingan lima penjuru pada PRN Sabah ke-17, melibatkan penyandangnya Datuk Seri Hajiji Noor yang mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Beliau dicabar oleh Dr Shahnon Rizal Thaijuddin daripada Barisan Nasional (BN), Mohktar Hussin dari Parti Warisan Sabah (Warisan), Tiaminah @ Siti Aminah Ele yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), serta Pajudin Nordin mewakili Parti Impian Sabah (PIS).

Saingan pelbagai blok politik ini menjadikan Sulaman antara kerusi tumpuan, dengan setiap calon membawa agenda serta tawaran pembangunan tersendiri kepada pengundi kawasan berkenaan

Proses pengundian dijangka ditutup pada jam 5 petang, manakala keputusan awal dijangka mula diketahui seawal jam 7 malam

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat