Berani bersuara, katakan tidak kepada keganasan terhadap wanita – KPWKM

Oleh Zihan Zari

LANGKAWI – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) aktif melaksanakan pelbagai program khusus secara berterusan termasuk meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya kaum lelaki untuk sama-sama membantu mengurangkan kes keganasan terhadap wanita.

Sejak Januari sehingga Oktober 2025, JPW telah melaksanakan 101 program advokasi menangani keganasan terhadap wanita dengan penyertaan lebih 74,397 peserta, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Tahun 2025 atau Eliminate Violence Against Women (EVAW) di Dataran Lang, dekat sini baru-baru ini.

Sambutan ini merupakan kali yang ke-17 diadakan sejak program EVAW diperkenalkan oleh KPWKM pada tahun 2009.

Menurut beliau, 25 November merupakan tarikh yang telah diiktiraf sebagai Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita melalui resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 2000 dan tema di peringkat antarabangsa bagi tahun ini ialah ‘Towards 30 years of The Beijing Declaration and Platform for Action: Unite to End Digital Violence Against All Women and Girls’.

“Di Malaysia, kes-kes keganasan terhadap wanita masih berlaku dan pada tahap yang membimbangkan. Berdasarkan statistik pembentangan Jawatankuasa Kerja Data Keganasan Rumah Tangga, sehingga Jun 2025, lima negeri yang merekodkan kes keganasan rumah tangga tertinggi adalah Selangor, Perak, Johor, Kedah dan Sabah”, katanya.

Beliau yang dalam rangka lawatan kerja ke Langkawi turut merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan yang merupakan insiatif pencegahan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu gangguan seksual.

Katanya lagi, inisiatif ini merupakan langkah yang diambil berikutan statistik PDRM menunjukkan peningkatan membimbangkan iaitu 477 kes pada 2022, meningkat kepada 522 kes pada 2023, dan melonjak kepada 788 kes pada 2024. Sehingga Oktober 2025 sahaja, 872 kes telah dilaporkan.

Menerusi lawatan ini, beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Wanita Keluarga dan Negara (MWKN) yang telah membentangkan hala tuju, dasar serta strategi berkaitan pemerkasaan wanita dan pembangunan keluarga.

KPWKM dalam kenyataan berkata mesyuarat ini merupakan satu platform strategik yang membincangkan isu, mengemukakan nasihat serta syor berkaitan isu wanita serta keluarga bagi memastikan isu-isu berkepentingan yang dibincangkan, didengari dan dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

Ujarnya, lawatan kerja dua hari ini diharapkan akan mencapai matlamat untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap usaha menghentikan keganasan terhadap wanita dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan bilangan kes gangguan seksual seterusnya mengangkat usaha-usaha memperkasa wanita bagi membolehkan wanita menyumbang sepenuhnya kepada pembangunan sosial negara.-SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat