Oleh Zihan Zari
LANGKAWI – ‘Gali Tubi’ merupakan sebuah program intensif sempena Pertandingan Bakat Muda Sezaman ke-29 (BMS29) yang memberi tumpuan kepada kajian lapangan, pemahaman konteks lokasi serta pembinaan asas penghasilan karya telah berlangsung dekat sini baru-baru ini.
Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata program ini telah menghimpunkan seramai 30 peserta yang terpilih dan di sepanjang 11 hari pelaksanaannya telah diberikan pendedahan menyeluruh kepada peserta terhadap naratif sosial, budaya, sejarah serta ekologi Langkawi melalui pendekatan ‘jelajah’, pemerhatian serta interaksi bersama komuniti setempat.
“Penganjuran Program ‘Gali Tubi’ turut mempertemukan peserta dengan barisan fasilitator berpengalaman, merangkumi seniman, kurator, aktivis budaya, dan penyelidik, termasuk Wong Hoy Cheong, Erry Arham Azmi, Azzad Diah Ahmad Zabidi, Zikri Rahman, Mark Teh, dan Sharon Chin.
“Manakala sesi perkongsian khas menampilkan Harold Reagan Eswar, Adnan Hasan, Zulkefli Jais, dan Izzat Isa,”kata kenyataan itu.
“Peserta turut terlibat dalam aktiviti komuniti bersama Geng Bersih Kampung dan Kebun Lisdtari, menjadikan pengalaman bengkel lebih menyeluruh dan bermakna.
“Selain itu, lawatan ke lokasi cadangan bagi BMS29 turut diadakan, antaranya Tugu & Taman CHOGM, Pantai Lagenda, Jeti Pelancongan Kuah, Pulau Tuba, Pulau Pasir, Tapak 0 Kilometer, Pasar Awam Kuah dan Projek Perumahan Rakyat Anggerik Lestari, ”katanya.
“Lawatan ini memberi peluang kepada peserta untuk menilai potensi setiap ruang serta memahami hubungan antara ruang, komuniti, dan naratif setempat, seterusnya memperkukuh pemahaman mereka sebelum menghasilkan karya.
“Peserta turut menjalani sesi refleksi, pemetaan idea dan pembinaan naratif melalui perbincangan bersama fasilitator. Proses ini merangkumi pemetaan berfasa, perbincangan dalam kumpulan kecil serta sesi Town Hall yang memberi ruang kepada peserta membincangkan aspek logistik, keperluan penyelidikan dan persiapan awal dalam menempuh pentas BMS29,”katanya lagi.
Ujarnya, keseluruhan proses ini membantu peserta memperhalusi cadangan karya masing-masing secara lebih kritikal dan terarah, selaras dengan konsep BMS29 iaitu ‘Lokasi Spesifik’.
Dalam kenyataan yang sama, Balai Seni Negara merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bon Ton Resort atas kerjasama mereka dalam menjayakan program ini yang memberi peluang kepada peserta meninjau operasi studio residensinya sebagai sebahagian daripada pengalaman program.
Tambahnya, Balai Seni Negara juga telah menganjurkan Majlis Penutup Program ‘Gali Tubi’ pada 24 November lalu, di Dikaki Tower House, di sini yang telah dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarahnya (Operasi), Rohana Mohd Yusof.
“Menerusi penganjuran ‘Gali Tubi’, Balai Seni Negara berharap program ini dapat memantapkan persediaan peserta bagi menghadapi Pertandingan BMS29, sekaligus memperkukuh pemahaman mereka terhadap konsep pertandingan pada edisi kali ini.
“Hasil cadangan karya yang diperhalusi sepanjang program ini akan dijadikan asas untuk pemasangan karya peserta, yang dijadual bermula pada Mac depan, diikuti dengan sesi penjurian, pengumuman pemenang, dan pelancaran pameran pada April depan, ”tambahnya lagi . – SUARA.TV



