40 peratus hasil Sabah tak ada makna jika diurus pemimpin rasuah, tak amanah – Tuan Ibrahim

TELIPOK – Hak 40 peratus hasil Sabah tidak ada maknanya jika pengundi Sabah salah memilih pemimpin yang mengamalkan rasuah.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengingatkan, 40 peratus hasil Sabah itu tidak akan memberi manfaat kepada rakyat sekiranya ia diurus oleh pemimpin yang tidak jujur .

“40 peratus tidak ada makna kalau pemimpinnya korup, 50 peratus tak ada makna kepada rakyat kalau pemimpinnya rasuah.

“40 peratus tidak ada makna kepada Sabah kalau diurus oleh orang yang tidak jujur , tidak amanah. Justeru, apa yang paling penting bagaimana kita memilih pemimpin.

“Rakyat akan ikut corak hidup pemimpin kalau pemimpin yang baik, rakyatnya juga akan baik.

“Namun kalau pemimpinnya rosak, kerosakannya itu akan merebak kepada rakyat yang akhirnya mengheret kepada kerosakan,” tegas ketua pembangkang Pahang dalam Ceramah Mega Perikatan Nasional Kasi Bagus Sabah di Telipok, malam tadi.

Menurut Tuan Ibrahim, tema Kasi Bagus Sabah dipilih sebagai permulaan kasi bagus untuk seluruh Malaysia.

“Itu pentingnya kita memilih pemimpin yang baik, kerana kalau banyak mana pun sumber ekonomi jika diuruskan oleh orang yang tidak bagus ia tetap tidak memberi manfaat. Pemimpin menentukan hala tuju.

“PN tawar calon yang ditapis bukan tangkap muat. Kita teliti satu persatu, kalau dapat pemimpin korup, salah guna kuasa bagilah dana berapa peratus sekalipun ia tetap tidak mengubah Sabah.

“Kita analisa satu demi satu calon bukan tangkap muat sebab kita nak tawarkan calon terbaik. Kami tak akan khianat rakyat dengan pilih calon tak layak.

“Harapnya pemimpin yang dipilih istiqamah, jangan ada yang lompat lagi lepas ini. Jaga kawasan yang dia menang sebab itu kita masukkan perkara ini dalam manifesto, sebelum ini mereka terpaksa lompat parti untuk dapat peruntukan. Kali ini kita tawarkan pembangkang atau kerajaan dapat peruntukan supaya tiada lagi melompat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat