TELIPOK – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadapi masalah besar ketika ini dari segi ‘walk the talk’ memandangkan terlalu banyak perkara negatif yang terkait kerajaan berlaku hampir serentak.
Menurut Pengarah Pilihan Raya Pas Negeri Sabah Tan Sri Annuar Musa, sekarang ini timbul satu perkara yang terlalu bercanggah dengan apa yang beliau lakukan.
“Lebih membimbangkan ada benda-benda berlaku di sekelilingnya, bahkan berlaku di kalangan orang-orang yang dekat dengan beliau.
“Malah teguran ini bukan datang lagi daripada pembangkang, tapi datang daripada dalam Parti PKR sendiri. Kita dengar pandangan daripada Datuk Seri Rafizi Ramli tentang sikap tidak walk the talk. Kita dengar juga rungutan daripada rakyat biasa.
“Malanglah kalau negara kita hidup dalam suasana retorik, tetapi realiti sebenarnya tak berlaku seperti mana dia laung-laungkan dan satu hari takut nanti rakyat jemu, rakyat marah, rakyat turun ke jalanan ataupun rakyat lakukan sesuatu yang seperti berlaku di setengah-setengah negara. Jadi, perkara ini harus segera diperbetulkan.
“Begitu juga dalam isu Zara Qairina pun macam itu juga. Jadi rakyat berada dalam keadaan suspicious. Seolah-olah ini ada suatu pihak yang melindungi kerana terkait dengan orang-orang yang berkuasa,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Annuar yang juga AJK Pas Pusat itu menyebut lagi, tiba-tiba isu Albert Teh ini sudah menjalar pergi ke orang yang paling dekat dengan Perdana Menteri.
“Kali ini mengaitkan Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, itu adalah tokoh politik yang berjawatan tinggi dalam parti. Tiba-tiba berhadapan dengan tuduhan yang seperti ini tentulah menimbulkan satu tanda tanya dengan rakyat.
“Kemudian kita dengar pula viral video yang menyatakan perkara ini ada dalam pengetahuan Perdana Menteri dan sebagainya. Mungkin itu satu tohmahan tetapi ia terus menimbulkan tanda tanya seperti dalam isu Zara Qairina.
“Jadi ini menimbulkan keresahan rakyat. Saya rasa perlu ada satu penutup yang jelas bagi rakyat,” tegas Annuar lagi.



