PUTATAN — Perikatan Nasional (PN) komited membawa perubahan besar kepada Sabah melalui pelaksanaan 12 tunjang utama pembangunan negeri yang mengandungi 159 tawaran komprehensif merangkumi aspek ekonomi, sosial, kemudahan asas, tadbir urus dan kesejahteraan rakyat.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelan pembangunan itu digubal setelah mengambil kira keperluan sebenar rakyat serta kekuatan strategik yang dimiliki Sabah dalam pelbagai sektor.
Menurutnya, tawaran tersebut bukan disusun secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui kajian terperinci melibatkan pakar ekonomi, ahli akademik, wakil masyarakat dan kelompok industri bagi memastikan setiap cadangan memberi manfaat terus kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Perikatan Nasional akan melaksanakan 12 tunjang utama pembangunan negeri Sabah dengan 159 tawaran untuk rakyat Sabah. Ia adalah tawaran yang disusun secara menyeluruh, teliti dan realistik.
“Kita mahu membangunkan Sabah dengan lebih terancang, bukannya sekadar janji yang tidak mempunyai arah,” katanya ketika mengumumkan manifesto PN di Putatan.
Muhyiddin menjelaskan bahawa 12 tunjang utama itu meliputi pelbagai aspek kritikal antaranya seperti pembangunan ekonomi berimpak tinggi, peningkatan pendapatan rakyat, peluang pekerjaan lebih luas, pembangunan luar bandar yang lebih agresif, peningkatan kualiti pendidikan serta pengukuhan infrastruktur asas.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan PN berbeza kerana setiap tawaran dirangka berdasarkan realiti semasa negeri Sabah yang berdepan cabaran besar seperti isu bekalan air bersih, gangguan elektrik dan peluang pekerjaan yang terhad.
“Sabah adalah negeri yang kaya dengan sumber semula jadi, potensi tanah, pelancongan dan industri. Namun, kekuatan ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
“Dengan pelan yang kita perkenalkan, PN mahu pastikan kekayaan Sabah kembali dirasai oleh rakyat sendiri,” katanya.
Menurutnya, tawaran tersebut turut memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan kebajikan dan kualiti hidup keluarga B40 dan M40, termasuk pengukuhan jaringan keselamatan sosial, penyediaan perumahan mampu milik, bantuan keusahawanan serta program latihan kemahiran yang lebih menyeluruh bagi meningkatkan kemampuan rakyat bersaing dalam pasaran pekerjaan.
Muhyiddin turut menekankan bahawa isu asas seperti bekalan air dan elektrik akan diberi perhatian khusus melalui pelaksanaan projek penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang yang dirancang secara teratur bagi mengelakkan kegagalan projek atau ketirisan seperti yang sering berlaku sebelum ini.
“Kita mahu memastikan setiap rakyat Sabah mendapat keperluan asas yang sepatutnya telah lama mereka nikmati. Bekalan air, elektrik dan jalan yang baik bukan kemewahan ia keperluan asas manusia,” ujarnya.
Selain itu, PN juga menjanjikan usaha memperkukuh integriti pentadbiran dengan mewujudkan tadbir urus yang lebih telus bagi menangani isu ketirisan, rasuah dan kelemahan pengurusan yang selama ini didakwa menjadi penghalang utama kemajuan Sabah.
Beliau berkata, kesemua tawaran tersebut membentuk satu kerangka pembangunan jangka panjang yang mampu melonjakkan Sabah ke tahap lebih maju sekiranya gabungan itu diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri akan datang.
“Kita datang dengan pelan yang jelas. Jika rakyat beri peluang kepada PN, 12 tunjang dan 159 tawaran ini akan dilaksanakan secara menyeluruh untuk memastikan kemajuan Sabah berlaku secara neat, bukan sekadar retorik politik,” katanya.



