Tak tunggu selesai PRN, Persekutuan mulakan rundingan teknikal 40 peratus dengan kerajaan sementara Sabah – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Kementerian Kewangan (MOF) melalui Perbendaharaan telah menghantar surat rasmi kepada kerajaan sementara Sabah bagi memulakan rundingan teknikal berhubung pemberian khas 40 peratus hasil negeri itu, sebelum terbentuknya kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, langkah itu menandakan komitmen Kerajaan untuk memperkukuh pelaksanaan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan, laporan hasil rundingan itu nanti akan dibawa ke Jawatankuasa Teknikal Tertinggi MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri II, sebelum dibawa ke Majlis Tindakan MA63 yang pengerusikan beliau sendiri.

“Sabah ketika ini dalam tempoh PRN dan status kerajaan adalah sementara. Namun, proses teknikal dan rundingan boleh dimulakan lebih awal agar perbincangan rasmi dapat diteruskan sebaik kerajaan negeri baharu dibentuk.

“Kita tidak mahu dianggap melengah-lengahkan proses. Surat rasmi telah dihantar untuk membolehkan rundingan teknikal dimulakan segera. Dalam hal ini, kita perlu menjaga semangat perpaduan antara negeri dan Persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang meminta penjelasan berkenaan pihak yang terlibat dalam proses rundingan berkenaan.

Menurut beliau, proses ini adalah selaras dengan semangat federalisme dan peruntukan Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak negeri Sabah dan Sarawak dalam perkongsian hasil negara.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan mahu memastikan proses rundingan itu dilaksanakan secara menyeluruh, profesional dan telus agar hasilnya memberi manfaat sebenar kepada rakyat Sabah.

“Kita mahu isu 40 peratus ini diselesaikan melalui perundingan yang adil dan berdasarkan semangat MA63, bukannya polemik politik,” tegasnya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat