KOTA KINABALU — Mesyuarat khas Jemaah Menteri esok dijangka menjadi penentu sama ada Kerajaan Persekutuan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak pembayaran 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah.
Namun sumber politik dalam kerajaan Sabah memberi isyarat kemungkinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mencadangkan agar Kabinet untuk tidak meneruskan proses rayuan ke mahkamah lebih tinggi.
Ini selari dengan pendirian Gabungan Rakyat Sabah (GRS), rakan utama kerajaan Persekutuan, yang secara terbuka menggesa Putrajaya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan memulakan rundingan konstruktif untuk memuktamadkan mekanisme pembayaran.
Majlis Presiden GRS sebelum ini menegaskan keputusan mahkamah itu tidak membebankan Persekutuan kerana tiada penalti kewangan dikenakan, sebaliknya hanya mengarahkan semakan Perlembagaan yang tertunggak sejak puluhan tahun diselesaikan.
Bercakap kepada SuaraTV, pemimpin tersebut menyatakan Perdana Menteri mahu membuat keputusan bersama dengan kabinet bagi mengelak persoalan berbangkit kemudian hari.
Ini kerana lazimnya keputusan di peringkat Mahkamah Tinggi terutama melibatkan tafsiran Perlembagaan Persekutuan harus di bawa ke Mahkamah Persekutuan sebagai pemutus.
Sekiranya rayuan tidak difailkan, langkah itu boleh dilihat sebagai isyarat politik jelas bahawa Putrajaya bersedia menyelesaikan isu tertunggak Sabah melalui formula bersama, sekali gus meredakan ketegangan yang tercetus sejak keputusan Mahkamah Tinggi diumumkan.



