TAWAU,– Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ruji Ubi dilihat sebagai calon terbaik Pakatan Harapan (PH) untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai daripada penyandangnya, Sarifuddin Hata (Warisan).
Menurut penganalisis politik berpengkalan di Tawau, Mohd. Zaki Harry Susanto, Ruji mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan pusat dan diyakini mampu membawa pendekatan baharu di Merotai. Beliau juga diakui kewibawaannya oleh Perdana Menteri untuk menabur bakti di kampung halaman sendiri.
Bercakap kepada jesseltontimes.com, Zaki menyifatkan pencalonan Ruji yang merupakan anak jati Merotai akan memberi cabaran hebat kepada Warisan, yang sebelum ini menang dua penggal berturut-turut di kawasan tersebut.
“Merotai ialah antara kerusi penting di pantai timur dan menjadi tumpuan gabungan GRS+PH. Jika Ruji disahkan sebagai calon, ia berpotensi mengubah landskap sokongan kerana faktor pengalaman, jaringan persekutuan dan hubungan rapat dengan masyarakat setempat,” katanya.
Zaki berkata, penduduk di Merotai menaruh harapan tinggi terhadap calon yang mampu membawa pembangunan luar bandar, peluang pekerjaan dan penyelesaian isu-isu kemudahan asas yang lama tertangguh.
“Pengundi mahu wakil rakyat yang dekat dengan kerajaan pusat kerana banyak projek penting memerlukan kerjasama persekutuan. Ini antara kelebihan yang dimiliki Ruji,” tambahnya.
Dalam pada itu, Sarifuddin dijangka sekali lagi dipertaruhkan oleh Warisan untuk mempertahankan kerusi berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
Penganalisis turut menjangkakan bahawa saingan di Merotai akan menjadi antara yang paling sengit memandangkan kedua-dua tokoh mempunyai pengaruh di lapangan dan jaringan akar umbi masing-masing.
“Pertembungan ini akan sangat diperhatikan kerana ia boleh memberi isyarat sejauh mana penerimaan rakyat terhadap gabungan GRS+PH, khususnya di pantai timur,” kata Zaki.
Setakat ini GRS dan PH telah memuktamadkan rundingan kerusi dan pengumuman rasmi calon dijangka dibuat dalam masa terdekat.-SUARA.TV



