KOTA KINABALU, — Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali, disebut-sebut bakal dipertaruhkan sebagai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis pada Pilihan Raya Umum Sabah akan datang.
Sumber dalaman parti menyatakan bahawa pencalonan Armizan di Pantai Manis memberi kelebihan strategik kepada GRS untuk merampas kerusi tersebut daripada Barisan Nasional (BN), selain dilihat sebagai usaha menampilkan pemimpin generasi baharu dalam pentadbiran Sabah.
Pantai Manis kini disandang Mohd Tamin Zainal daripada BN-UMNO yang memenangi kerusi tersebut pada PRN Sabah 2020 dengan majoriti tipis 686 undi.
Dalam keputusan itu, Mohd Tamin memperoleh 5,116 undi, menewaskan calon Warisan, Yahiya Awang Kahar yang meraih 4,430 undi. Calon PCS, Fauzi Ibrahim menerima 499 undi, diikuti calon USNO, Ag Damit Ag Shahzain Pg Abd Razak dengan 151 undi, manakala calon LDP, Mazreca John memperoleh 127 undi.
Margin kemenangan yang rapat menjadikan Pantai Manis antara kerusi paling kompetitif di Papar dan membuka ruang kepada GRS untuk meletakkan calon berprofil tinggi di kawasan itu.
Pencalonan Armizan turut dilihat sebagai langkah strategik untuk menonjolkan dirinya sebagai calon Ketua Menteri menggantikan Datuk Seri Hajiji Noor sama ada selepas pilihan raya akan datang atau pertengahan penggal berikutnya.
Beliau turut mempunyai pengalaman pentadbiran di peringkat negeri dan Persekutuan, termasuk portfolio penting berkaitan hal ehwal Sabah dan Sarawak.
Sejak beberapa minggu lalu, beliau semakin aktif menjelaskan dasar kerajaan Sabah dan pentadbiran GRS melalui media sosial, selain menjadi antara suara utama mempertahankan gabungan itu dalam wacana nasional.
Setakat ini, GRS belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai penyusunan calon bagi Pilihan Raya Umum Sabah.
Jika pencalonan menjadi kenyataan, penyandang sekarang Mohd Tamin mungkin berhadapan laluan sukar mempertahankannya memandangkan Armizan juga merupakan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Papar. – SuaraTV



