KUALA LUMPUR – Kemenangan Zohran Mamdani membawa mesej yang sangat jelas kepada dunia, bahawa politik kebencian, penindasan dan dwi-standard yang sering menjadi amalan sebahagian pemimpin dunia, termasuk tokoh seperti Donald Trump, tidak lagi diterima majoriti rakyat.
Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rakyat New York telah memilih keberanian, integriti dan kemanusiaan.
“Mereka memilih seorang pemimpin muda yang berani menegur kuasa besar dan lantang membela rakyat Palestin, walaupun tahu pendiriannya itu tidak digemari pelobi besar.
“Kita yakin Zohran akan mendapat bimbingan daripada tokoh-tokoh progresif seperti Senator Bernie Sanders, seorang ahli politik yang cukup berpengalaman menghadapi tekanan pelobi Zionis, termasuk AIPAC.
“Dan kita di Amanah berharap Zohran akan terus istiqamah dengan prinsip perjuangannya untuk terus membela Palestin di pentas antarabangsa.
“Zohran bukan hanya menang dalam pilihan raya, tetapi menang di hati manusia yang cintakan keadilan,” kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu dalam kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mat Sabu memberitahu 4 bulan lalu, dalam satu majlis parti di Bangi, beliau menyebut bahawa Zohran Mamdani berpotensi besar untuk menjadi Datuk Bandar New York City. Bukan kerana ramalan politik, tetapi kerana tanda-tanda perubahan itu sudah jelas di depan mata.
“Kemenangan ini bukan sekadar peralihan kuasa politik di sebuah kota besar, tetapi menandakan kebangkitan hati nurani rakyat Amerika, khususnya di New York.
“Mereka sudah mula berani menyoal dasar luar kerajaan sendiri yang selama ini menjadi pelindung kepada kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.
“Gelombang kesedaran ini bukan kecil. Ratusan ribu rakyat, termasuk pelajar universiti, ahli akademik dan masyarakat sivil, turun ke jalanan menuntut keadilan. Ia mengingatkan saya kepada tindakan Ali Khameini yang telah menulis surat kepada para pelajar agar bangkit menentang kezaliman.
“Menariknya, surat itu bukan ditujukan kepada pelajar di dunia Arab, tetapi kepada pelajar di Amerika dan Eropah. Kerana di situlah, kata Ali Khameini, terletaknya kekuatan untuk mengubah sistem yang zalim.
“Hari ini, semangat itu seakan hidup kembali dalam sosok anak muda bernama Zohran Mamdani, muslim yang berjiwa kemanusiaan dan berani bersuara menegakkan keadilan walau di tengah arus politik yang mencabar,” ujar beliau.
Menurut Mat Sabu lagi, inilah semangat yang harus menjadi inspirasi kepada seluruh anak muda dunia, bahawa politik boleh berubah, apabila rakyat berani menyatakan “cukup!”
“Semoga Datuk Bandar Zohran Mamdani terus diberi kekuatan untuk memimpin dengan amanah, berprinsip dan berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat.
“Yang benar tetap benar, walau datang dari minoriti. Yang zalim tetap zalim, walau disorak ramai,” ujar beliau.



