Warzone World Championship Tidak Dapat Kelulusan Rasmi KBS – Hannah Yeoh

CYBERJAYA : Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menegaskan bahawa kejohanan Warzone World Championship (WWC) — acara sukan tempur yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Disember di N9 Arena, Negeri Sembilan — tidak mendapat kelulusan rasmi daripada pihak kerajaan.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, sebarang aktiviti sukan, terutamanya yang melibatkan penyertaan antarabangsa, wajib memperoleh kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

“KBS menasihatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan, integriti, dan imej sukan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau, mana-mana pihak yang menganjurkan kejohanan antarabangsa tanpa kelulusan sah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 36 Akta 576.

Acara WWC menjadi perbualan ramai selepas video promosi yang memaparkan kekecohan ketika sesi ‘face-off’ tular di media sosial. Rakaman berkenaan mendapat kecaman daripada komuniti sukan tempur tempatan yang menganggap ia berunsur gimik keterlaluan dan menjejaskan reputasi sukan tersebut.

Antara yang menegur tindakan itu ialah atlet Muay Thai negara, Johan Ghazali, yang menyifatkan penglibatan pempengaruh Yusuf Azmi sebagai “memalukan dunia sukan tempur”.

Difahamkan, Yusuf — yang juga Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan 1 Malaysia (Semboyan Malaysia) — dijadualkan bertarung menentang Yunus Martin dari Indonesia.

Selain peserta Malaysia dan Indonesia, kejohanan itu turut membariskan atlet dari Thailand, India, dan China.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat