KINABATANGAN, — Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan bahawa beliau tidak pernah meninggalkan UMNO, sebaliknya dipecat daripada parti itu.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi kepada nasihat Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menyarankan agar Khairy kekal komited sekiranya ingin kembali menyertai UMNO.
Bung Moktar dilaporkan berkata demikian selepas majlis penyampaian agihan interim keuntungan Felcra di Kinabatangan semalam, sambil menambah bahawa beliau difahamkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menawarkan peluang kepada Khairy untuk kembali ke dalam parti.

Namun Khairy menerusi hantaran di Instagram menulis:
“Ramai yang menghantar mesej bertanya apa yang berlaku. Beri saya sedikit masa sebelum saya sedia menjawab. Sementara itu, biar saya jelaskan: “saya tidak pernah keluar daripada UMNO. Kamu semua yang pecat saya. Tolong jangan cuba ubah sejarah.”
Khairy dipecat daripada UMNO pada Januari 2023 bersama beberapa pemimpin lain selepas lantang mengkritik kepimpinan parti.



