Oleh Zihan Zari
GOPENG – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan terus memperkasa peranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam memastikan keterjaminan makanan negara, memodenkan pemasaran hasil tani, memperluas rangkaian pasaran dan melahirkan lebih ramai usahawan tani muda, kata Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Isham Ishak.
FAMA akan terus dipacu sebagai organisasi berpaksikan data, teknologi dan inovasi, sejajar dengan agenda digitalisasi sektor agromakanan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Jubli Intan FAMA ke-60 Tahun bertemakan ‘60 Tahun FAMA: Memacu Pemasaran, Menjamin Kedaulatan Makanan’di RTC Perak, dekat sini baru-baru ini.
Tema ini membawa maksud bahawa kejayaan sektor pertanian bukan hanya bergantung kepada pengeluaran, tetapi juga kepada kecekapan pemasaran, jaringan rantaian nilai dan penggunaan teknologi.
Yang hadir, Pengerusi FAMA, Hj. Aminuddin Zulkipli; dan Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri.
Isham turut menekankan kepentingan kerjasama antara kerajaan, industri dan rakyat dalam mengurangkan kebergantungan import makanan serta meningkatkan pengeluaran tempatan demi kedaulatan makanan negara.
FAMA dalam kenyataan berkata sambutan ini bukan sekadar acara ulang tahun, tetapi melambangkan perjalanan enam dekad agensi ini sebagai peneraju pemasaran agromakanan negara yang berperanan memastikan hasil tani dipasarkan secara cekap, adil dan berkesan demi kepentingan petani dan pengguna.
Menurutnya, penubuhan FAMA pada tahun 1965 adalah inisiatif kerajaan untuk melindungi petani dan nelayan daripada manipulasi orang tengah, serta memastikan kestabilan harga makanan dalam negara.
Sejak itu, FAMA telah berevolusi daripada agensi pemasaran tradisional kepada organisasi moden yang menerajui ekosistem pemasaran hasil pertanian melalui pembangunan Pasar Tani, Pasar Borong, Agrobazaar, Ladang Kontrak dan pusat pengumpulan.
“FAMA juga memperkenalkan program seperti Jualan Agro MADANI, FAMA Fest, Karnival Industri Makanan Asas Tani (IMAT), pemasaran digital dan eksport produk tempatan, di samping melaksanakan pendigitalan data pasaran, e-dagang dan integrasi teknologi.
“Evolusi ini membuktikan FAMA kekal relevan dan menjadi tonggak utama dalam menjamin keterjaminan makanan negara, ”katanya.
Katanya lagi, kedaulatan makanan adalah agenda nasional yang memerlukan kerjasama semua pihak untuk mengurangkan kebergantungan import dan memperkukuh pengeluaran tempatan.
“Sepanjang tiga hari penganjuran sambutan ini menampilkan pelbagai pengisian menarik melalui tiga kluster utama.
“Antaranya, Galeri Sejarah 6 Dekad memaparkan perjalanan FAMA dari 1965 hingga kini, termasuk kejayaan strategik dan transformasi dalam sektor agromakanan.
Kingdom of Agrofood pula menghimpunkan jualan hasil segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, florikultur, ternakan dan produk premium termasuk Melon Malaysia, di samping promosi Kombo RM6 dan RM60 sebagai simbol ulang tahun.
“Manakala Empayar Makanan menampilkan hidangan warisan negeri, food truck moden, demonstrasi masakan dan juadah serendah harga RM6 yang mencerminkan sokongan FAMA terhadap usahawan IMAT.
“Selain itu, sambutan ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti keluarga dan gaya hidup seperti Fun Run, Agro Hunt, pertandingan memasak, FAMA Idol, demonstrasi kulinari, cabutan bertuah “Cashless La Boss” dan Happy Hour Jualan,”ujarnya.
Ujarnya lagi, belia turut dilibatkan melalui E-Sukan / E-Games Tournament, manakala kanak-kanak dapat menikmati pengalaman pembelajaran di Animal Land yang menampilkan lebih 36 spesis haiwan eksotik dan jinak.
Di samping itu, sambutan ini menyediakan platform perniagaan melalui Seminar, Business Matching dan sesi bimbingan usahawan untuk membuka peluang kerjasama antara pengusaha industri dan pasar raya.
Tambahnya, pentas hiburan juga diserikan dengan persembahan artis tanah air seperti Dato’ Francisca Peter, Amir Ukays dan XPDC Kita Peng Yu bagi menarik kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.
“Sambutan Jubli Intan ini diharapkan dapat menyemarakkan semangat baharu dalam kalangan warga FAMA, petani, usahawan dan masyarakat untuk terus menyokong produk tempatan, memperkukuh sektor agromakanan dan memastikan kestabilan bekalan makanan negara.
“Dengan pengalaman 60 tahun dan visi masa depan yang jelas, FAMA diyakini akan terus memainkan peranan strategik sebagai peneraju pemasaran agromakanan dan rakan pembangunan usahawan tani ke arah Malaysia yang lebih sejahtera dan berdaya saing, ”tambahnya lagi. – SUARA.TV



