KOTA KINABALU, — Penganalisis politik Sabah, Musli Oli mencadangkan agar pengundi di negeri itu memberi sokongan kepada parti-parti nasional dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang bagi memastikan kestabilan politik dan hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan.
Menurut beliau, hanya parti nasional yang berkeupayaan menyelesaikan isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta tuntutan hak Sabah secara menyeluruh.
“Saya komited menyokong parti nasional sama ada PKR, PH, PN atau Barisan Nasional. Hanya parti nasional yang mampu menyelesaikan isu-isu tergantung berkaitan hak Sabah,” katanya dalam Podcast Sekali Ketuk yang disiarkan baru-baru ini.
Musli berkata, pengalaman lalu menunjukkan parti-parti tempatan di Sabah sering gagal mengekalkan kesatuan dan kerap bergelut dengan perpecahan dalaman, berbeza dengan situasi di Sarawak.
“Masalah parti tempatan di Sabah bukan kerana mereka tidak mampu, tetapi kerana mereka sering bergaduh sesama sendiri. Di Sarawak, GPS begitu dominan dan mempunyai kelebihan besar untuk berunding dengan kerajaan Persekutuan,” ujarnya.
Beliau turut bersetuju dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, yang menegaskan Sabah perlu mencontohi Sarawak dalam membina solidariti dan perpaduan politik di peringkat kepimpinan negeri.
Musli menambah, pemimpin Sarawak seperti Tun Abdul Taib Mahmud, Tan Sri Adenan Satem dan Datuk Patinggi Abang Johari Openg telah berjaya membina kesepaduan politik yang kukuh, membolehkan GPS menjadi blok kuasa utama di negeri itu.
Sebaliknya di Sabah, katanya, kepimpinan negeri sering berdepan masalah dalaman hingga menjejaskan keupayaan kerajaan negeri mengawal barisan menteri dan wakil rakyatnya sendiri.
“Kalau kita ibaratkan kerajaan seperti keluarga bila anak-anak tak dengar cakap, itu bukan salah anak sahaja, tapi salah bapa juga. Begitulah juga halnya dengan Ketua Menteri,” katanya sambil merujuk kepada kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.
Musli turut menegaskan bahawa sejarah politik Sabah membuktikan kerajaan negeri di bawah parti tempatan cenderung berkonfrontasi dengan kerajaan Persekutuan.
Beliau memberi contoh krisis antara USNO dan kerajaan pusat pada zaman Tun Datu Mustapha Datu Harun serta konfrontasi era Parti Bersatu Sabah (PBS) yang membawa kepada tindakan keluar dari Barisan Nasional.
“Apabila diperintah oleh parti tempatan, Sabah kerap berdepan konflik dengan kerajaan Persekutuan. Tapi bila di bawah parti nasional seperti Barisan Nasional, keadaan lebih stabil dan tiada isu konfrontasi,” jelasnya.
Musli menutup pandangannya dengan menyeru pengundi agar membuat pertimbangan rasional menjelang PRN akan datang dengan mengambil kira kepentingan jangka panjang negeri dan hubungan strategik dengan kerajaan pusat.-SUARA.TV



