Forum menangani Ekstremisme Agama Demi Perpaduan dan Keharmonian Negara

Akademi Nadwah Ulama’ Li An Nahdhah Al Jadidah (Akademi NUNJI) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan Forum Menangani Ekstremisme Agama Demi Perpaduan dan Keharmonian Negara yang berlangsung di Dewan Restoran Amjal pada 31 Oktober 2025. Forum ini telah dirasmikan oleh YB Senator Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dan dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, ahli akademik, mahasiswa serta wakil institusi agama.

Penganjuran forum ini bertepatan dengan hasrat negara untuk memperkukuh perpaduan nasional melalui penerapan nilai-nilai keseimbangan, toleransi dan ihsan sebagaimana yang digariskan dalam gagasan Malaysia Madani. Dr. Mujahid dalam ucapannya menegaskan bahawa usaha menangani ekstremisme agama merupakan satu keperluan strategik negara kerana ia berkait rapat dengan kestabilan sosial serta keharmonian antara kaum dan agama. Beliau menjelaskan bahawa gagasan Madani menuntut pembinaan sebuah masyarakat yang seimbang, beradab, penuh kasih sayang dan saling menghormati, justeru usaha menentang fahaman ekstrem adalah selari dengan matlamat tersebut.

Sebagai peneraju Akademi NUNJI, Dr. Mujahid menjelaskan bahawa NUNJI telah beberapa kali melaksanakan program-program berbentuk kesedaran di bawah kerjasama strategik bersama MAIWP. Antara sasaran utama program ini ialah golongan muda yang perlu diberi kefahaman jelas tentang bahaya ekstremisme agama dan kesannya terhadap keamanan negara. Menurut beliau, siri jelajah program akan diteruskan di seluruh Wilayah Persekutuan menjelang akhir tahun bagi memperluas kesedaran awam tentang isu ini.

Dalam sesi bersama media, Dr. Mujahid turut menyentuh fenomena baharu yang digelar “non-violent extremism”, iaitu bentuk ekstremisme yang tidak melibatkan keganasan fizikal tetapi berlaku melalui penyebaran mesej kebencian dan fitnah di media sosial seperti TikTok dan Facebook. Beliau menegaskan bahawa kandungan berbentuk provokasi dan penghinaan boleh menimbulkan kemarahan, memupuk kebencian dan akhirnya membawa kepada tindakan ganas dalam dunia nyata. Oleh itu, beliau menyeru pengguna media sosial agar mengamalkan adab dan tanggungjawab ketika berinteraksi di ruang siber serta mengelak daripada menyebarkan mesej kebencian.

 

Dr. Mujahid turut menjelaskan bahawa masalah utama dalam masyarakat masa kini ialah kecenderungan netizen untuk mengutamakan emosi dan sentimen berbanding fakta. Perkara ini, katanya, membuka ruang kepada penyebaran maklumat palsu dan hasutan yang akhirnya mencetuskan kebencian antara kaum dan agama. Beliau berpendapat bahawa undang-undang sedia ada seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta Kanun Keseksaan belum mencukupi untuk menangani isu ucapan kebencian secara menyeluruh. Sehubungan itu, beliau mencadangkan penggubalan satu undang-undang baharu iaitu Akta Anti Ucapan Kebencian (Anti Hate Speech Law) yang lebih menyeluruh dan berkesan untuk melindungi masyarakat daripada sebarang bentuk hasutan dan kebencian.

Walau bagaimanapun, Dr. Mujahid menegaskan bahawa tujuan undang-undang tersebut bukan untuk menyekat kebebasan bersuara, tetapi untuk memastikan kebebasan itu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Beliau menekankan konsep “kebebasan dengan tanggungjawab” atau freedom with responsibility yang perlu menjadi asas kepada setiap tindakan dan pandangan yang dikongsikan di media sosial. Kebebasan, katanya, tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan kebencian, kerana kebebasan yang tidak beretika akhirnya akan memudaratkan masyarakat secara keseluruhan.

Selain aspek perundangan, pendidikan dan kesedaran awam turut diberi penekanan sebagai langkah jangka panjang. Beliau berpandangan bahawa pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk keupayaan berfikir secara kritikal, menilai fakta dan menolak sentimen yang berasaskan kebencian. Dalam konteks ini, beliau mencadangkan agar sistem pendidikan memperkenalkan modul literasi media sosial bagi mendidik pelajar tentang etika dan tanggungjawab ketika menggunakan platform digital.

Menyentuh mengenai politik dan ekstremisme, Dr. Mujahid menyeru agar para pemimpin politik mengamalkan politik beradab yang berteraskan hormat dan pembinaan, bukan politik kebencian dan perpecahan. Beliau menolak fahaman sempit yang menggunakan agama sebagai alat untuk menimbulkan kebencian sesama umat, serta menegaskan bahawa keadilan harus menjadi neraca utama dalam kepimpinan. Baginya, memilih pemimpin yang adil dan berintegriti jauh lebih penting daripada menyokong pemimpin yang menyeleweng atas dasar agama semata-mata.

Forum turut membincangkan peranan media sosial dalam mempengaruhi remaja dan kanak-kanak. Dr. Mujahid menyokong langkah kerajaan memperkenalkan kawalan penggunaan telefon pintar kepada individu bawah umur 16 tahun sebagai langkah pencegahan, namun menolak idea sekatan total terhadap media sosial yang dianggap tidak praktikal. Menurut beliau, apa yang perlu ditekankan ialah kawalan berperingkat serta pengawasan yang bertujuan melindungi generasi muda daripada kandungan tidak bermoral, buli siber dan pengaruh negatif.

Beliau turut menekankan keperluan untuk memperkukuh peranan wanita dalam menghadapi ancaman ekstremisme, kerana terdapat kes-kes di luar negara yang menunjukkan wanita menjadi mangsa rekrut ideologi ekstrem. Oleh itu, pengawalan terhadap penyebaran mesej sebegini amat penting bagi melindungi kesejahteraan masyarakat dan institusi keluarga.

Dr. Mujahid menutup forum dengan harapan agar program seperti ini dapat diteruskan secara berterusan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk NGO, agensi kerajaan dan institusi pendidikan. Beliau menyatakan bahawa sejak penubuhannya, Akademi NUNJI komited membawa mesej rahmah dan kasih sayang dalam masyarakat, selaras dengan prinsip Malaysia Madani yang menekankan ihsan, hormat dan kemampanan sosial. Usaha kecil yang konsisten, katanya, mampu membina kesedaran besar dalam membentuk masyarakat yang harmoni, bersatu padu dan bebas daripada fahaman ekstremisme.

Secara keseluruhannya, forum ini berjaya membuka ruang perbincangan yang konstruktif mengenai cabaran ekstremisme agama di Malaysia. Melalui pendekatan bersepadu yang menyeimbangkan antara undang-undang, pendidikan dan kerjasama masyarakat, diharapkan usaha ini dapat menjadi asas kukuh dalam membina masa depan negara yang lebih aman, inklusif dan berteraskan nilai-nilai rahmah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat