KUALA LUMPUR – Pemeteraian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas antara Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia dijangka membuka laluan kepada akses pasaran yang lebih baik serta terjamin bagi kedua-dua negara.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata, menerusi perjanjian yang bersejarah itu, sebanyak 1,711 talian tarif tidak akan dikenakan tarif 19 peratus, sekali gus memberi kelebihan besar kepada sektor eksport negara.
Antara eksport utama Malaysia yang bakal menerima manfaat termasuk minyak sawit, produk berasaskan getah, produk koko, komponen dan alat gentian pesawat serta farmaseutikal.
“Perjanjian yang dimeterai semalam sebenarnya telah dipersetujui secara rasmi sebelum ini dan telah diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, di Parlimen.
“Namun, apa yang lebih baik kali ini ialah AS menawarkan akses pasaran yang lebih luas dan lebih terjamin kepada Malaysia. Maka, apa yang dimeterai kali ini adalah lebih baik daripada apa yang diumum sebelum ini,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjelaskan, penghapusan tarif terhadap 1,711 talian tarif tersebut bakal mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai rakan dagang strategik kepada AS, terutama dalam sektor barangan pengguna dan komoditi.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH–Jelutong) mengenai kelebihan perjanjian itu, Chin Tong menegaskan, langkah tersebut akan meningkatkan daya saing eksport negara di pasaran global.
Bagaimanapun katanya, produk semikonduktor tidak termasuk dalam perjanjian berkenaan.
“Buat masa ini, produk semikonduktor tidak dirangkumi dalam perjanjian. Namun, perkara itu akan dipertimbangkan oleh pihak AS dan dewan perniagaan mengikut Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 (19 U.S.C 1862).
“Apabila semikonduktor dipertimbangkan kelak, ia akan diambil kira secara keseluruhan bersama apa yang telah dipersetujui semalam,” jelas beliau lapor MalaysiaGazette.
Perjanjian tersebut dijangka memberi isyarat positif kepada pelabur antarabangsa selain mengukuhkan hubungan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat.



