KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan badan bukan kerajaan (NGO) memberi tumpuan kepada penyediaan bantuan kemanusiaan dari dalam negara dan tidak hanya memikirkan usaha menghantar sukarelawan dalam jumlah yang ramai ke Gaza.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menghargai semangat kemanusiaan rakyat Malaysia, namun menegaskan keutamaan kini ialah memastikan bantuan seperti ubat-ubatan, makanan dan keperluan asas dapat disalurkan dengan teratur mengikut peraturan ditetapkan.
“Saya sudah berjumpa dengan wakil NGO seperti Mercy dan Flotilla. Mereka semua komited membantu, tetapi pihak di Gaza sendiri menasihatkan supaya jangan terlalu ramai yang pergi.
“Mereka kata, tenaga kerja di sana sudah mencukupi. Apa yang lebih penting ialah kita bantu dari sini, sediakan ubat, makanan dan kelengkapan asas,” katanya ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, PPAM Seruling, Presint 5 di Putrajaya lapor BH.
Anwar berkata, Mesir membuka sempadan Rafah untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan, namun proses itu perlu mematuhi peraturan keselamatan yang ketat.
“Esok tengah hari, Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi akan menghubungi saya sekitar jam 2 petang. Saya akan sampaikan pandangan supaya apabila Rafah dibuka, kita dapat memastikan bantuan kemanusiaan dihantar dengan teratur mengikut garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
Hanya hantar barang keperluan khusus, yang lain beli di kawasan hampir Gaza
Katanya, kerajaan turut menasihatkan NGO supaya menyalurkan bantuan berbentuk barangan yang boleh dibeli terus di kawasan berhampiran Gaza bagi mengurangkan kos dan risiko perjalanan.
“Kalau boleh beli di sana, ia lebih murah daripada beli di sini. Hanya kelengkapan khas seperti ubat-ubatan tertentu boleh dihantar dari Malaysia. Yang penting, kita bantu secara tersusun dan tidak membebankan operasi,” jelasnya.
Anwar berkata, kerajaan sedia berbincang semula dengan NGO sekiranya keadaan di Gaza berubah dan memerlukan kehadiran lebih ramai tenaga khusus seperti doktor atau jurutera.
“Buat masa ini, fokuskan persiapan bantuan dari dalam negara. Kalau ada keperluan mendesak nanti, kita boleh runding semula,” katanya.



