Tempatkan polis di sekolah beri isyarat premis itu selamat – Kabinet

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri menilai aspek keberadaan atau kehadiran anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekolah adalah penting bagi memberikan isyarat premis berkenaan adalah tempat yang selamat.

Jurucakap Kerajaan Madani Datuk Fahmi Fadzil berkata, aspek kehadiran anggota PDRM itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi, dengan kenyataan penuh mengenainya akan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Ini bagi memastikan kehadiran anggota PDRM akan dapat memberikan satu ‘signal’ bahawa sekolah kita adalah tempat yang selamat.

“Kementerian Pendidikan (KPM) juga akan mengeluarkan satu pedoman kepada sekolah untuk melaksanakan pemeriksaan secara mingguan.

“Tidak pada hari tertentu, tapi bersifat pemeriksaan. Jadi, bila-bila masa (pemeriksaan dilakukan) pada minggu itu,” katanya pada sidang medianya di Kementerian Komunikasi di Putrajaya.

Pada 11 Oktober lalu, media melaporkan polis menahan reman empat pelajar Tingkatan 5 bagi membantu siasatan kes rogol bergilir-gilir ke atas seorang pelajar perempuan Tingkatan 3 dalam kelas sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka.

Pada Selasa lalu pula, media melaporkan pelajar lelaki berusia 14 tahun menikam pelajar perempuan berusia 16 tahun sehingga mati di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama.

Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menyatakan antara perkara lain dibincangkan oleh Jemaah Menteri adalah mengenai keperluan untuk melakukan kajian penuh terhadap isu dihadapi oleh sekolah.

“Ini akan diusahakan oleh sebuah jawatankuasa khas yang mana laporannya akan disediakan dalam masa terdekat dan secepat mungkin untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri. Ia bagi memutuskan tindakan selanjutnya,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat