KUALA LUMPUR – Rakyat akan memilih parti yang mempertahankan hak-hak Sabah daripada sebarang bentuk campur tangan luar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, kekuatan partinya bukan sahaja terletak pada calon-calon yang diketengahkan, tetapi kepercayaan rakyat terhadap perjuangan berasaskan maruah, hak dan masa depan rakyat Sabah.
“Apa yang paling penting ialah parti. Jika rakyat percaya parti ini mampu membawa masa depan yang lebih baik untuk Sabah, itulah yang mereka akan pilih.
“Bukan Kuala Lumpur yang menentukan siapa menjadi Ketua Menteri. Penentunya ialah pengundi Sabah yang mesti keluar beramai-ramai untuk menentukan masa depan kita sendiri dan mempertahankan maruah Sabah,” katanya ketika ditemui selepas sesi bertemu rakyat di Pulau Banggi di Kudat, lapor Utusan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Sabah Ke-17 pada 29 November ini.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 15 November manakala tarikh mengundi awal pula pada 25 November.
Shafie berkata, kehendak rakyat tidak boleh diseleweng melalui muslihat politik atau manipulasi undang-undang kerana mandat rakyat perlu dihormati sepenuhnya.
“Kita mesti berhati-hati apabila bercakap tentang majoriti dan mandat. Undang-undang tidak boleh diputar untuk menafikan suara rakyat. Jika Warisan mendapat majoriti, itu adalah suara rakyat dan tiada siapa boleh menafikannya,” katanya.



