Oleh Zihan Zari
KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah melancarkan BioInnovation Launchpad 2025, sebuah program pembangunan usahawan bio yang bertujuan menangani cabaran pengkomersialan inovasi negara, khususnya dalam industri berasaskan bio dan bioteknologi.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, antara cabaran utama yang dihadapi ialah kadar pengkomersialan hasil penyelidikan universiti di Malaysia yang masih belum memuaskan, dengan kurang daripada 10 peratus (%) berjaya dikomersialkan, menurut kajian 2025 oleh Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Perkara ini berpunca daripada kekurangan dana, kemahiran keusahawanan serta
bimbingan berterusan.
BioInnovation Launchpad 2025 yang dikendalikan oleh Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) unik kerana ia menawarkan sokongan menyeluruh dan berpanjangan, berbeza dengan program keusahawanan lain yang lazimnya terhad kepada bantuan jangka pendek.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian BioXCeed 2025 sempena Ekspo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan (NICE) 2025, dekat sini baru-baru ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Ruziah Shafei; Ketua Pegawai Eksekutif, Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), TS. Hj. Mohammad Hazani Hassan, dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah Bioeconomy Corporation.
Lih Kang berkata, seramai 10 % daripada universiti, syarikat pemula dan syarikat spin-off telah dipilih menyertai program ini, menampilkan 10 produk berasaskan bio-inovasi dengan potensi nilai pasaran sebanyak RM13 juta.
Ujarnya, produk-produk ini bukan sahaja sedia untuk dikomersialkan dan menerima pelaburan, malah membawa penyelesaian berimpak tinggi dalam sektor kesihatan dan kesejahteraan.
Selain itu, bioteknologi pertanian dan keterjaminan makanan, makanan berasaskan bio, serta bioteknologi perindustrian dan ekonomi kitaran.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bioeconomy Corporation, Mohd Khairul Fidzal Abdul Razak berkata, program ini memberi hala tuju yang jelas kepada graduan, penyelidik dan usahawan untuk memacu pengkomersialan inovasi bio, dengan matlamat melahirkan syarikat pemula yang berpotensi mencapai status Bio-based Accelerator (BBA) atau BioNexus.
“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 10 usahawan bio untuk dibangunkan sebagai peneraju masa depan syarikat berstatus BBA atau BioNexus melalui program ini.
“Mereka tidak dibiarkan bersaing seorang diri, sebaliknya menerima sokongan menyeluruh merangkumi bimbingan, akses pasaran, sokongan regulatori, peluang
pembiayaan dan fasilitasi lain yang lengkap.
Usaha ini memastikan inovasi bio mereka berkembang menjadi perniagaan mampan dan berskala besar, sekali gus meletakkan
Malaysia di peta dunia serta menyumbang kepada sasaran 5 % KDNK menjelang 2030 di bawah Dasar Bioteknologi Negara 2.0,” katanya.
Dalam pada itu, tiga pemenang utama menerima dana permulaan berjumlah RM60,000 sebagai pemangkin pengkomersialan, manakala pemenang kategori Best Pitcher dan People’s Choice menerima hadiah RM5,000 setiap seorang.
BioXCeed 2025 merupakan gabungan dua platform inovasi kerjasama antara Bioeconomy Corporation dan MTDC.
Gabungan ini mencerminkan aspirasi bersama kedua-dua organisasi untuk melangkaui batasan inovasi, seiring dengan matlamat NICE 2025 dalam melahirkan penyelesaian praktikal yang mampu membawa produk dan teknologi tempatan ke arah pengkomersialan serta menembusi pasaran global.-SUARA.TV



