Kami, rakyat di bawah ini, sudah penat dengan jenis wakil rakyat yang hanya muncul waktu tertentu YB “solok-solok”, YB “salam-salam”, YB “envelope”, YB “Puang Haji apa khabar?”, atau YB yang sibuk bermain bola dan bergambar untuk media.
Kami tidak perlukan pemimpin yang hanya pandai bersandiwara di hadapan rakyat.
Kami mahu wakil rakyat yang benar-benar mempunyai wawasan dan keinginan untuk melihat kemajuan serta pembangunan di Sabah.
Kami perlukan YB yang tahu bagaimana mencari dana pembangunan, bukan sekadar menunggu peruntukan kerajaan. Kami mahu pemimpin yang bijak membawa masuk pelaburan ke Sabah, khususnya ke Tawau agar peluang pekerjaan, infrastruktur, dan taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan.
Kami sudah penat dipandang rendah, seolah-olah kami warga kelas ketiga.
Kami penat dianggap seperti pekerja asing di negeri sendiri. Kami bukan Bangla, bukan Nepal, bukan warga Indonesia yang terpaksa meninggalkan keluarga demi mencari rezeki di tanah orang.
Kami rakyat Sabah yang miskin di bumi yang kaya.
Kami ingin melihat pemimpin yang tampil dengan wawasan dan manifesto yang praktikal serta bermanfaat untuk pembangunan negeri bukan sekadar datang hulur wang saku RM100 menjelang pilihan raya.
Wang itu kami boleh cari sendiri jika negeri ini dibangunkan dengan jujur dan berkesan.
Kami bukan peminta sedekah. Kami ada tenaga, ada semangat untuk berusaha sendiri.
Yang kami harapkan hanyalah pemimpin yang bijak, berilmu, jujur, dan benar-benar membawa kemajuan untuk Sabah.



