MEROTAI, – Ketua Bahagian Pertubuhan Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) Merotai, Mohammad Jalani bin Haji Chachu, menyatakan sokongan penuh terhadap Datuk Ruji Ubi sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N72 Merotai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Beliau berkata, Datuk Ruji yang juga anak jati Merotai mempunyai kualiti kepimpinan yang diperlukan untuk membawa pembangunan baharu di kawasan tersebut.
“Bagi saya, sebagai pemimpin setempat, siapa pun yang dicalonkan untuk Merotai, contohnya Datuk Ruji, kita sokong sepenuhnya. Merotai memerlukan pemimpin yang berfikiran kritis, agresif dan berfikir di luar kotak. Kita tidak mahu pemimpin yang hanya mengikut gaya lama,” katanya.
Menurutnya lagi, pengalaman luas Datuk Ruji dalam perkhidmatan awam menjadikannya calon ideal untuk meneruskan agenda pembangunan Merotai.
“Datuk Ruji ini mantan pegawai kerajaan yang pernah memegang pelbagai jawatan penting dan mempunyai hubungan baik dengan agensi serta kementerian di peringkat pusat. Saya yakin pengalaman dan pengetahuan beliau dapat membantu Merotai menjadi lebih maju dan cemerlang,” ujarnya.
Jalani yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan N.72 Merotai merupakan lantikan kerajaan negeri GRS bagi kawasan yang dimenangi parti pembangkang.
Beliau sebelum ini turut disebut-sebut sebagai antara calon GRS bagi kawasan tersebut. Namun hasil rundingan pembahagian kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH), kawasan Merotai akhirnya diserahkan kepada PH.
Beberapa minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan nama Datuk Ruji Ubi, bekas Ketua Setiausaha Kementerian, sebagai calon PH bagi DUN Merotai.
Pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2020, kerusi DUN Merotai dimenangi oleh calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Sarifuddin Hata, yang memperoleh 4,058 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (BERSATU), Jalani Chachu (2,471 undi), calon Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Liew Yun Fah (1,779 undi), calon PCS Abdullah Palile (86 undi), calon USNO Baru Hafezatul Halimah Mohamad (60 undi), dan calon LDP Shim Nyat Yun (30 undi), dengan majoriti 1,587 undi.
Datuk Ruji dijangka berdepan laluan sukar menentang penyandang kerusi tersebut, Sarifuddin Hata daripada Warisan, namun sokongan terbuka daripada Mohammad Jalani dan kepimpinan akar umbi PGRS dilihat memberi isyarat awal perubahan arus politik di Merotai.- Suara.TV



