Cyberjaya – Detik bersejarah tercipta buat dunia fesyen tanah air apabila jenama tempatan ikonik, Rizman Ruzaini, secara rasmi melancarkan butik flagship terbaharu mereka di Suria KLCC, salah satu pusat beli-belah paling berprestij di Malaysia.
Lebih membanggakan, butik ini terletak sebaris dan selevel dengan jenama mewah antarabangsa seperti Chanel, Louis Vuitton, Dior dan Fendi, menjadikan Rizman Ruzaini antara satu-satunya jenama tempatan yang berjaya menembusi aras eksklusif tersebut satu pencapaian luar biasa yang menandakan kematangan 20 tahun perjalanan mereka dalam industri.
Sejak ditubuhkan pada tahun 2005 oleh dua pereka berbakat besar Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil jenama Rizman Ruzaini telah melalui transformasi luar biasa, daripada sekadar nama kecil dalam rekaan busana tempatan, kepada simbol kemewahan dan keanggunan yang kini dikenali di peringkat antarabangsa.

Selama dua dekad, mereka mencipta sejarah melalui karya-karya yang menghiasi karpet merah, pentas peragaan antarabangsa, dan tubuh figura ternama dari selebriti Malaysia sehinggalah kepada nama besar dunia seperti Naomi Campbell dan Lady Gaga.
Maka, pembukaan butik flagship di KLCC ini bukan sekadar peluasan perniagaan, tetapi penyempurnaan satu perjalanan panjang sebuah simbol bahawa impian, apabila diiringi kerja keras dan keikhlasan, akhirnya menjadi kenyataan.
“Alhamdulillah, setelah dua puluh tahun berada dalam industri ini, inilah impian yang kami nantikan sejak mula.” ujar Rizman dengan penuh emosi.
“Dari zaman kami menjahit di bilik kecil, membina nama sedikit demi sedikit, hingga akhirnya melihat papan tanda ‘Rizman Ruzaini’ berdiri di aras yang sama dengan Chanel ia satu perasaan yang sukar digambarkan. Kami bersyukur dan berbangga kerana ini membuktikan bahawa jenama tempatan juga mampu berdiri megah sebaris dengan jenama antarabangsa.”
Bagi Ruzaini pula, pelancaran ini lebih daripada sekadar pencapaian perniagaan. Ia adalah momen sentimental yang membawa makna mendalam dalam perjalanan mereka berdua.
“Apabila pihak pengurusan KLCC menilai portfolio kami dan memilih kami untuk berada di aras yang sama dengan jenama mewah dunia, kami benar-benar terharu. Ini bukan sekadar pengiktirafan, tetapi juga satu amanah besar untuk terus mengangkat martabat jenama tempatan agar dihormati di mata global,” ujarnya.
Proses membangunkan butik ini bukan sesuatu yang mudah. Rizman dan Ruzaini mengambil masa hampir tiga bulan untuk menyiapkannya sepenuhnya bermula daripada lakaran awal hingga ke setiap perincian rekaan dalaman.
“Butik ini kami bangunkan from scratch. Kami pilih sendiri warna dinding, pencahayaan, konsep ruang dan setiap hiasan,” jelas Rizman. “Kami mahu pelanggan yang melangkah masuk ke butik ini merasai keanggunan dan kehalusan yang sinonim dengan Rizman Ruzaini, tetapi dalam suasana moden dan selesa.”
Sentuhan estetik butik ini menggambarkan DNA jenama mereka: gabungan tradisi dan kemodenan, kemewahan dan keanggunan, dengan palet warna lembut dan perincian yang elegan. Ia bukan sekadar tempat membeli-belah tetapi ruang pengalaman fesyen yang direka untuk menginspirasi.
Selain koleksi couture yang menjadi tunjang jenama, butik ini turut menampilkan label RR by Rizman Ruzaini rangkaian gaya siap pakai (ready-to-wear) yang lebih praktikal dan mampu milik.
“RR adalah hadiah kami kepada semua peminat,” kata Ruzaini. “Kami mahu setiap wanita dan lelaki di Malaysia merasai sentuhan mewah tanpa perlu berbelanja besar. Koleksi ini dicipta untuk dipakai setiap hari elegan tetapi selesa, moden tetapi sopan.”
Di butik KLCC ini, pelanggan dapat menemui pelbagai pilihan lengkap dari busana harian hingga pakaian kerja, tudung, beg tangan, kasut, serta aksesori. Setiap rekaan mengekalkan keaslian jenama Rizman Ruzaini: feminin, sofistikated, dan penuh keyakinan diri.
Walaupun baru dua minggu dibuka secara rasmi, butik di KLCC ini sudah menerima sambutan luar biasa. Setiap hari, butik dipenuhi pelanggan setia dan pengunjung antarabangsa yang tertarik dengan jenama ini.
“Pelanggan dari Korea, China dan negara-negara Arab antara yang paling ramai datang membeli,” jelas Rizman. “Bila mereka tahu ini jenama Malaysia, mereka terkejut dan kagum. Ramai yang terus membeli sebagai hadiah untuk keluarga mereka di luar negara. Ia membuatkan kami bangga kerana akhirnya jenama Malaysia menjadi pilihan global.”
Beliau turut menambah bahawa laporan jualan butik tersebut menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan sesuatu yang mengukuhkan lagi kepercayaan mereka terhadap potensi jenama tempatan di pasaran antarabangsa.
Menjadi jenama yang bertahan selama dua dekad bukan sesuatu yang mudah. Di sebalik kemewahan dan glamor dunia fesyen, Rizman dan Ruzaini melalui pelbagai cabaran, jatuh bangun, serta ujian dalam dunia perniagaan.
“Fesyen bukan sekadar cantik di mata, tetapi juga perlu kuat dalam strategi dan emosi,” jelas Ruzaini. “Selama 20 tahun, kami pernah buat keputusan yang silap, pernah rugi, pernah dikhianati, tetapi kami tidak pernah berputus asa. Setiap kegagalan itu kami jadikan guru.”
Rizman menambah, “Kalau ada orang kata perjalanan kami sentiasa mudah, itu tidak benar. Tapi kami belajar untuk terus bergerak ke hadapan dengan cara yang profesional. Kami kini ada pasukan penasihat korporat, peguam, dan business advisor untuk memastikan segala urusan dilakukan dengan betul dan telus.”
Butik di Suria KLCC hanyalah langkah pertama dalam fasa baharu perkembangan Rizman Ruzaini. Tahun hadapan, mereka merancang untuk membuka sekurang-kurangnya lima butik di Indonesia, sekali gus memperkukuh kedudukan sebagai jenama serantau.
“Indonesia pasaran yang besar dan dinamik. Kami mahu membawa semangat dan rekaan Malaysia ke sana. Insya-Allah, ini akan menjadi satu lagi bab penting dalam perjalanan Rizman Ruzaini,” ujar mereka penuh semangat.
Selain itu, Rizman Ruzaini turut mengintai peluang untuk bekerjasama dengan lebih banyak platform global, termasuk kempen fesyen antarabangsa dan kolaborasi dengan selebriti luar negara selaras dengan visi mereka untuk menjadikan Rizman Ruzaini sebagai ‘Global Modest Luxury Brand’ pertama dari Malaysia.

Melihat papan tanda “Rizman Ruzaini” di koridor eksklusif Suria KLCC, bersebelahan dengan Chanel, bukan sahaja menggembirakan para peminat, malah memberi inspirasi kepada seluruh industri fesyen tanah air. Ia membuktikan bahawa jenama lokal boleh mencapai taraf global tanpa perlu meniru, tetapi dengan menonjolkan identiti sendiri.
“Ini bukan tentang saingan, tetapi tentang pengiktirafan,” kata Rizman. “Kami mahu menjadi bukti kepada generasi muda bahawa anak tempatan juga boleh berjaya di ruang yang sama dengan jenama antarabangsa asalkan ada usaha, strategi dan doa.”
Dari hari pertama mereka memperkenalkan rekaan busana tradisional moden, hingga kini mempunyai butik di lokasi paling elit di Malaysia, perjalanan Rizman Ruzaini adalah kisah ketekunan, visi dan cinta terhadap seni fesyen.
Dari pentas Dubai Fashion Week hingga penghormatan di Victoria and Albert Museum London, mereka telah meletakkan nama Malaysia di peta fesyen dunia.
Kini, dengan butik di Suria KLCC berdiri sebaris dengan Chanel, Louis Vuitton dan Dior Rizman Ruzaini bukan lagi sekadar jenama, tetapi legenda yang menjadi lambang keanggunan, kecekapan dan keunggulan kreatif anak bangsa.
“Ini bukan penamat, tetapi permulaan bab baharu. Insya-Allah, kami akan terus membawa nama Malaysia lebih jauh,” ujar Rizman sambil tersenyum, menutup lembaran satu dekad perjuangan dan membuka pintu menuju masa depan yang lebih gemilang.



