KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin DAP Datuk Teng Chang Khim mempertikai tindakan Datuk Seri Tiong King Sing yang mengakui kesilapan kerana tidak memaklumkan lebih awal majlis Global Travel Meet (GTM) 2025 Gala Dinner dianjurkan pihak lain, bukan oleh Tourism Malaysia sekali gus menimbulkan kekeliruan seolah-olah ia acara rasmi kerajaan.
Chang Khim nyata tidak berpuas hati dengan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu yang dinilainya seolah-olah menyerah diri dan tidak mempertahankan kebenaran sekali gus mencalarkan imej penyokong yang berada di belakang kontroversi majlis hidang arak terkait kementeriannya.
“Apakah perasaan mereka yang berdiri menyokong dan mempertahankan anda?
“Apabila anda menyerah diri seperti ini? soal bekas Exco Selangor itu.
Tambah Chang Khim, persoalannya, jika menteri mengumumkan bahawa ia bukan program rasmi, adakah minum dibenarkan?
“Bukankah ia akan menyinggung perasaan umat Islam yang hadir dan tidak hadir? soalnya lagi di Facebook.
Hari ini di Dewan Rakyat King Sing mengaku silap apabila pihaknya tidak memaklumkan lebih awal majlis Global Travel Meet (GTM) 2025 Gala Dinner dianjurkan pihak lain, bukan oleh Tourism Malaysia sekali gus menimbulkan kekeliruan seolah-olah ia acara rasmi kerajaan.
Menteri Pelancongan itu berkata sebarang acara anjuran kementerian tidak membabitkan hidangan alkohol seperti berlaku pada majlis baru-baru ini.
“Kesilapan pada malam itu, sepatutnya saya umum pihak penganjur sudah bertukar, di mana majlis (GTM 2025 Gala Dinner) itu bukan dianjurkan dari kita (kementerian melalui Tourism Malaysia). Jadi, ada keliru sikit, kesulitan ini amat dikesali.
“Baru ini kita pun anjur (Persidangan Pelancongan Dunia 2025) di Melaka, kita pun ada majlis sama, ada alkohol di sana? Tiada.
“Mana-mana majlis anjuran (kementerian) ada alkohol? Tiada. Kita pun faham larangan menghidang alkohol dalam acara rasmi kerajaan bawah Pekeliling Perbendaharaan WP5.1 (Peraturan Mengenai Keraian Rasmi),” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Hassan Mohd Ramli (PN–Dungun) yang meminta penjelasan sama ada GTM 2025 dianjurkan kementerian, memandangkan laporan media menyebut majlis itu mendapat kelulusan ketua pengarah Tourism Malaysia serta menteri sendiri.
King Sing menjelaskan, pihaknya juga sepatutnya menukar lebih awal ‘backdrop’ di pentas utama yang masih tertera logo dan nama Tourism Malaysia, kepada logo penganjur sebenar iaitu pihak industri dan swasta.
“Saya buat kesilapan kerana logo di sana masih tunjuk Tourism Malaysia. Acara makan malam itu bukan rasmi, ia adalah acara ‘private’. Pekeliling tidak terpakai dan isu minuman beralkohol tak sepatutnya timbul.
“Namun, saya dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dengan penuh tanggungjawab menyesali sebarang kekeliruan atau salah faham yang menimbulkan segala kesulitan. Segala yang timbul amat dikesali,” katanya.
Susulan itu, beliau berharap isu hidangan arak tidak terus dijadikan polemik politik, dan mengesahkan menerima teguran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri bagi nasihat, kita terima. Saya kata, kita jangan ulang main politik, tuduh dan hina orang Islam. Kita tak hina, dalam apa anjuran kita, memang tak ada alkohol di atas meja,” katanya.
King Sing turut memaklumkan penganjuran GTM 2025 berjaya mencatat nilai jualan pelancongan mencecah RM420 juta sepanjang tiga hari acara itu hasil rundingan perniagaan dengan perniagaan.
Sebelum ini, Anwar memberi amaran keras kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta King Sing berhubung isu hidangan arak dalam majlis GTM, memandangkan kerajaan tegas melarang minuman keras dalam acara rasmi.



