KUALA LUMPUR- Isu taraf kewarganegaraan tujuh pemain warisan Harimau Malaya dan pertikaian dibangkitkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) adalah dua perkara berbeza.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana taraf kewarganegaraan melalui penaturalisasian hanya menggunakan prosedur seperti ditetapkan dalam Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, permohonan berkenaan sebaliknya tidak mengguna pakai apa-apa kriteria ditetapkan dalam Bahagian Keempat Statu FIFA Regulation Governing the Application of the Statutes Standing Orders of Congress.
“Statut FIFA ini hanya terpakai sebagai elemen pematuhan kepada persatuan bola sepak untuk mendaftar pemain masing-masing. Ia perlu dipenuhi.
“Statut ini ada empat kriteria, iaitu pemain terbabit lahir di wilayah persatuan berkenaan; ibu atau bapa dilahirkan di wilayah persatuan berkenaan; nenek atau datuk dilahirkan di wilayah persatuan berkenaan atau sudah menetap sekurang-kurangnya lima tahun di wilayah persatuan berkenaan selepas berusia 18 tahun.
“Kriteria statut FIFA ini bukanlah sandaran digunakan sebagai kriteria yang ditetapkan untuk mendapatkan taraf kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian seperti ditetapkan dalam Perkara 19 Perlembagaan,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen pada Khamis lapor Utusan.



