KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan mandat penuh kepada Lembaga Disiplin parti untuk menyiasat dan membuat keputusan dengan adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan Bersatu.
Beliau malah mengakui parti dinaungi kini berdepan cabaran dalaman namun tidak mahu ahli-ahli Bersatu tersasar daripada matlamat asal perjuangan.
“Kita berada dalam perjuangan yang jauh lebih besar memperkukuhkan Bersatu, memperkukuhkan Perikatan Nasional(PN), dan membela kepentingan rakyat. Jangan sesekali kita biarkan cabaran dalaman mengalih perhatian kita daripada matlamat ini.
“Saya amat memahami keresahan dan kegusaran yang sedang dirasai oleh ahli-ahli Bersatu berhubung dengan cabaran yang sedang kita hadapi.
“Dalam suasana seperti ini, perkara paling penting ialah kita kekal bertenang, berdisiplin dan yakin bahawa segala isu akan diuruskan melalui saluran parti yang sah.
“Sebarang tindakan luar daripada saluran ini hanya akan melemahkan parti dan memberi ruang kepada musuh politik kita.
“Saya menegaskan sekali lagi bahawa Lembaga Disiplin parti telah diberikan mandat penuh untuk menyiasat dan membuat keputusan dengan adil, telus dan berlandaskan Perlembagaan parti,” tegas beliau.
Justeru Pengerusi PN itu meminta semua ahli memberi ruang dan kepercayaan kepada proses ini berjalan dengan baik tanpa sebarang gangguan.
“Saya menyeru seluruh ahli untuk terus berdiri teguh, saling menyokong dan menzahirkan kesetiaan kepada perjuangan parti.
“Saat inilah kita diuji, dan saya yakin dengan kesabaran serta disiplin, kita akan keluar daripada cabaran ini lebih kuat, lebih utuh dan lebih bersatu,” ujar bekas Perdana Menteri itu lagi.



