KUALA LUMPUR -Ahli perniagaan Albert Tei mendedahkan satu lagi video berkait dakwaan skandal lesen lombong di Sabah.
Malaysiakini dalam laporannya pada Rabu melaporkan, kali ini klip rakaman memaparkan Rizal Johari, pembantu kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Seri Jeffrey Kitingan.
Selain perbincangan mengenai sejumlah besar wang tunai yang bertukar tangan, rakaman bertarikh 18 Jan 2024 di sebuah restoran di Kota Kinabalu itu turut menyentuh dinamika politik dalam gabungan pemerintah, Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dalam kenyataan, Tei mendakwa rakaman itu menunjukkan lesen dibatalkan sebagai sebahagian daripada “perebutan kuasa” antara Ketua Menteri Sabah merangkap pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor, Kitingan, dan presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Maximus Ongkili.
Kitingan dan Ongkili masing-masing ialah timbalan pengerusi I dan II GRS.
Dalam rakaman itu, Tei mengingatkan Rizal mengenai dakwaan bayaran RM300,000 yang diserahkan kepadanya dalam tiga ansuran RM100,000, kononnya diterima pembantu itu bagi pihak Kitingan.
“Ya, saya ingat,” jawab setiausaha sulit presiden Star itu, yang kemudian bertanya tentang tambahan RM500,000. Tei menjawab bahawa dia telah menyerahkan RM500,000 itu terus kepada Kitingan.
Apabila Rizal bertanya mengenai pembayaran berkaitan pilihan raya, Tei berkata dia telah memberikan “RM700,000, RM800,000”.
“Itu belum masuk sponsor (tajaan) – tak masuk sponsored (perjalanan) Singapura, tajaan (Pesta) Kaamatan. Cash (tunai), lebih RM1.6 juta,” tambah ahli perniagaan itu seperti dilapor portal berkenaan.
Perbualan kemudian beralih kepada krisis politik Sabah 2023, dengan Tei menyatakan bahawa Star dan PBS menyokong Hajiji.
Bercakap tentang sebuah “projek”, Tei mendakwa dia membawa Kitingan dan Ongkili ikut terlibat.
Rizal kemudian mengisyaratkan seseorang telah “menyertai puzzle” – dengan sari kata rakaman menunjukkan dia merujuk kepada Hajiji, yang kemudiannya “cepat-cepat membatalkan lesen” itu selepas menyedari kedua-dua parti berkenaan bercadang untuk bergabung.
“… Supaya (rancangan) mereka (parti-parti itu) mati,” tambahnya.
Tei, yang sebelum ini mengaitkan lebih sedozen ahli politik GRS dalam skandal itu, turut kedengaran dalam rakaman menuduh Hajiji mengetahui Kitingan dan Ongkili menerima wang daripadanya.
Rizal: “Of course (mestilah) dia tahu, kan?”
Tei: “Jadi macam mana mahu buat dua orang ni (Kitingan dan Ongkili) susah?”
Rizal: “Batalkan semua.”
Bagaimanapun, ketika dihubungi untuk maklum balas, Rizal memberitahu Malaysiakini dia “tidak ingat” perbualan yang didakwa itu.
“Saya tidak ada apa-apa ingatan mengenai apa yang berlaku dalam perbualan antara saya dan seorang individu bernama Albert Tei,” katanya.
Portal berita itu juga telah menghubungi Ongkili dan pejabat Hajiji untuk mendapatkan komen.
Minggu lalu, Tei mendedahkan rakaman perbualannya dengan Kitingan, yang didakwa menerima RM1.78 juta daripadanya.
Ahli Parlimen Keningau itu menafikan penglibatannya dalam skandal lombong dan menggelarkan dirinya seorang “pencinta alam sekitar.”
Tei kemudian membalas dengan mendedahkan dua dokumen untuk menyokong dakwaannya itu.
Sementara itu SabahNews pula melaporkan, Rizal Johari, pembantu kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Jeffrey Kitingan, menafikan dakwaan terlibat dalam skandal lesen lombong seperti didakwa melalui video yang didedahkan ahli perniagaan Albert Tei.
Menurutnya, rakaman yang kini tular itu bukan bukti salah laku tetapi satu lagi kempen terancang dan bermotif politik untuk mencemar reputasi kepimpinan Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Rakaman itu jelas direka bagi mewujudkan naratif palsu mengenai rasuah,” katanya.



