Menteri Komunikasi arah Qunut Nazilah disiarkan, tegas pantau propaganda Zionis

CYBERJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil hari ini menggesa semua stesen televisyen dan radio di seluruh negara untuk menyiarkan bacaan doa Qunut Nazilah dalam slot siaran utama sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Gesaan itu dibuat susulan tindakan rejim Zionis Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa apabila bertindak memintas dan menahan pasukan Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa misi kemanusiaan ke Palestin.

“Doa dan solidariti rakyat Malaysia amat penting dalam menghadapi saat getir ini. Tindakan rejim Zionis jelas tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Fahmi turut memaklumkan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah diarahkan untuk mempertingkat pemantauan terhadap kandungan berkaitan konflik di ruang siber tempatan. Menurut beliau, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan menyebarkan propaganda Zionis atau naratif berunsur hasutan yang boleh menjejaskan keharmonian serta sensitiviti masyarakat.

“Tindakan tegas dan segera akan dilaksanakan terhadap mana-mana pihak yang cuba menyebarkan berita palsu, hasutan atau naratif berat sebelah yang memberi keuntungan kepada Zionis,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Fahmi juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk mendapatkan maklumat sahih hanya melalui sumber rasmi seperti Kementerian Luar Negeri serta saluran rasmi Sumud Nusantara Command Centre yang dikendalikan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Katanya, langkah ini penting bagi mengelakkan penyebaran berita palsu atau tidak sahih yang boleh mencetus kekeliruan serta melemahkan semangat solidariti rakyat terhadap perjuangan Palestin.

“Dalam isu yang melibatkan nyawa dan maruah, penyatuan rakyat Malaysia amat penting. Kita mesti terus bersatu hati dan menunjukkan solidariti kepada saudara kita di Palestin yang sedang berdepan penindasan,” ujarnya lagi.

Serangan dan tindakan keras Israel terhadap flotilla kemanusiaan bukanlah sesuatu yang baharu, namun kali ini turut membabitkan aktivis dari Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla. Perkembangan itu sekali lagi menimbulkan kemarahan masyarakat antarabangsa dan mendorong Malaysia memperkukuh pendirian tegasnya terhadap Zionis Israel.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat