MOF lulus pengecualian cukai kepada Petronas GAS untuk susun semula perniagaan

KUALA LUMPUR – Petronas Gas Bhd (PGB) mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MOF) untuk pengecualian cukai yang berkaitan dengan pelan penyusunan semula dalaman syarikat.

PGB dalam pemberitahuan kepada bursa saham berkata, MOF melalui sepucuk surat bertarikh 24 September 2025 dan diterima pada 30 September 2025, telah memberikan pengecualian itu berikutan kelulusan yang diberikan lembaga pengarah terhadap pelan berkenaan pada 23 Julai 2025.

Penyusunan semula ini akan dilaksanakan melalui skim pengaturan ahli di bawah Akta Syarikat 2016, membabitkan pemindahan perniagaan utamanya iaitu pengangkutan gas, pemprosesan gas dan utiliti ke dalam anak syarikat milik penuh yang baru ditubuhkan.

Di bawah pelan itu, perniagaan pengangkutan gas akan dipindahkan kepada PG TransCo Sdn Bhd (TransCo); perniagaan pemprosesan gas akan dipindahkan kepada PG Gas Processing Sdn Bhd (GasPro); dan perniagaan utiliti akan diletakkan di bawah PG Utilities East Sdn Bhd (UT-East), yang dimiliki sepenuhnya oleh PG Energia Sdn Bhd (Energia), iaitu anak syarikat milik penuh PGB, lapor Bernama pada Rabu.

PGB berkata, langkah itu bertujuan memperkemas operasi dengan mengasingkan perniagaan yang dikawal selia dan tidak dikawal selia, meningkatkan ketelusan, memperkukuh fokus operasi dan menyediakan lebih fleksibiliti dalam pengurusan modal.

Syarikat itu menambah, penyusunan semula berkenaan tidak akan menjejaskan modal saham terbitannya, pegangan saham pemegang saham utama, atau memberi kesan material kepada pendapatan dan aset bersihnya untuk tahun kewangan berakhir 2025 dan 2026.

PGB menjangkakan untuk membuat permohonan yang diperlukan dalam tempoh tiga bulan, dengan penyusunan semula itu disasarkan selesai pada suku ketiga 2026.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat