KUALA LUMPUR – Seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru melaporkan diri untuk bertugas pada minggu lalu, ditahan polis berkaitan kes dadah, semalam.
SPRM dalam satu kenyataan pada Rabu mengesahkan penahanan pegawai itu di rumahnya selepas dipercayai memiliki bahan terlarang berkenaan.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menemui bahan terlarang di lokasi penahanan.
“SPRM menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.
SPRM menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku, pelanggaran undang-undang atau perbuatan jenayah membabitkan pegawai mahupun kakitangannya.
“SPRM komited memastikan integriti serta tadbir urus organisasi sentiasa dipelihara,” katanya.



