Stesen minyak kini dilengkapi terminal tambahan untuk pengesahan BUDI95

KUALA LUMPUR – Sistem di ste­sen minyak kini dikemaskini dan dilengkapi terminal tambahan bagi pengesahan kelayakan susulan pelaksanaan harga baharu petrol RON95 pada 30 September ini.

Pengurus sebuah stesen minyak berkata, meskipun persiapan daripada segi operasi dan bekalan sudah dilaksanakan, cabaran tetap dijangka wujud khususnya melibatkan proses pembayaran serta risiko gangguan teknikal.

Katanya, syarikat telah me­ngemas kini sistem bagi memudahkan proses pembelian mi­nyak selain menerima terminal tambahan daripada kerajaan untuk tujuan pengesahan kelayakan.

“Daripada aspek bekalan pula, proses penghantaran minyak dikawal dengan teliti oleh pihak syarikat bagi memastikan kelancaran.

“Namun pada waktu puncak, pelanggan mungkin perlu beratur antara satu hingga dua minit untuk proses pengesahan dan pembayaran. Selain itu, kemungkinan berlakunya system downtime atau masalah teknikal juga tidak dapat dielakkan,” lapor Utusan.

Semalam, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter bagi warganegara Malaysia menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95) dengan had kelayakan sebanyak 300 liter sebulan dan RM2.60 bagi bukan warganegara mulai 30 September ini.

Kemudahan subsidi itu boleh mula digunakan oleh semua anggota polis dan tentera pada 27 September manakala golo­ngan B40 atau penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 September sekitar 5 juta orang.

Mengulas mengenai proses pembelian petrol, beliau berkata, setiap transaksi kini memerlukan langkah tambahan iaitu pengesahan kelayakan dan baki kelayakan menggunakan kad pengenalan.

“Langkah pengesahan menggunakan kad pengenalan me­rupakan sebahagian daripada mekanisme subsidi yang perlu dipatuhi dan kami yakin pelaksanaannya dapat berjalan lancar sekiranya pelanggan memberi kerjasama.

“Daripada sudut bekalan petrol pula, prosesnya tidak berubah dan masih diuruskan sepenuhnya oleh pihak syarikat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, pelaksanaan BUDI95 dianggarkan mampu menjimatkan berbilion ringgit berbanding subsidi bersifat universal sebelum ini kerana ia dihadkan kepada warganegara sahaja.

Katanya, kelayakan subsidi kepada warganegara bukan sahaja mampu mengurangkan kebocoran kepada pihak yang tidak layak malah ia juga dapat memastikan agihan lebih tepat kepada golongan sasar.

“Dengan sasaran 16 juta penerima dan mekanisme saringan berdasarkan kewarganegaraan serta lesen memandu, kerajaan berpotensi menjimatkan antara RM3 hingga RM5 bilion setahun berbanding sistem lama.

“Dana yang dijimatkan itu boleh disalurkan semula kepada pembangunan infrastruktur, pen­didikan dan program kebajikan lain yang memberi impak langsung kepada rakyat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat