Keputusan Mahkamah Rayuan pada 22 September 2025 yang membatalkan injunksi Shell MDS Sarawak dan mengarahkan syarikat terbabit melunaskan tunggakan bayaran gas kepada PETRONAS bukan sekadar kemenangan teknikal di mahkamah. Ia merupakan pengembalian kepada prinsip asas mengikut akta petroleum PDA74.
Pada Januari 2025, Shell MDS memohon injunksi yang kemudiannya dibenarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Arziah Mohamed Apandi.
Injunksi itu membolehkan Shell MDS menggantung pembayaran kepada PETRONAS dan PETROS, tetapi memastikan bekalan gas diteruskan.
Langkah tersebut diambil kerana Shell MDS turut menerima tuntutan pembayaran daripada PETROS walaupun bekalan gas disalurkan oleh PETRONAS.
Bagaimanapun, semalam Hakim Mahkamah Rayuan menegaskan PETRONAS sentiasa bertindak mengikut perjanjian bekalan gas yang ditandatangani dengan Shell MDS, dan tidak ada sebab untuk memberi injunksi sementara sementara menunggu penyelesaian pertikaian antara PETRONAS dan PETROS.
Panel hakim mendapati PETRONAS tidak melakukan sebarang pelanggaran perjanjian, justeru mengarahkan SMDS menjelaskan tunggakan dari Ogos 2024 hingga 5 Oktober (tarikh akhir 6 Oktober), dengan jumlah mencecah hampir RM1 bilion termasuk faedah.
Selama setahun, PETRONAS menanggung risiko kewangan, politik, perundangan dan tekanan aliran tunai akibat tindakan pihak lain, sambil mempertahankan kedudukannya di “halaman rumah sendiri”.
Namun, hakim mahkamah kini menyatakan: cukuplah!
Mengapa Ia Penting?
PETRONAS bukan sekadar rakan niaga biasa. Di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74), syarikat ini adalah pemegang amanah eksklusif sumber petroleum Malaysia daratan dan perairan dengan mandat undang-undang untuk beroperasi demi kepentingan negara dan rakyat, sambil menghormati undang-undang negeri.
Keputusan ini membentuk duluan baharu dalam kemelut PETRONAS–PETROS dan operasi PETRONAS di Sarawak hari ni nampaknya tidak terjejas dengan keputusan mahkamah yang sangat jelasm iaitu syarikat hanya perlu hormati PDA74 dan patuhi kontrak komersial antara pembekal atau pembeli gas di Sarawak.
Ini bermakna, kuasa PDA74 adalah lebih besar daripada kuasa DGO atau OMO yang membenarkan Petronas menjadi gas aggregator di Sarawak.
Tiga Asas Keputusan Mahkamah
Pertama, PDA74 memberikan hak pemilikan dan kuasa eksklusif kepada PETRONAS. Asas ini telah berulang kali disahkan sejak penubuhan Malaysia. Malah, Mahkamah Persekutuan dan kenyataan rasmi Kerajaan tahun ini turut menegaskan bahawa walaupun Sarawak kini memainkan peranan lebih besar dalam pengurusan sumber, kuasa PETRONAS di peringkat nasional di bawah PDA74 kekal tidak berubah.
Kedua, meneruskan pembekalan gas ketika pertikaian adalah tanggungjawab menjaga kepentingan awam dan PETRONAS telah menunaikannya sepenuhnya. Di Sarawak, PETRONAS terus menunaikan semua komitmen di bawah perjanjian bekalan gas, termasuk melabur dalam projek huluan, menanggung kekangan aliran tunai, dan membiayai pelbagai aktiviti huluan lain. Ini semua sesuatu yang tidak ditampung oleh PETROS mahupun Shell MDS.
Ketiga, disiplin kewangan adalah keperluan mutlak. Sebagai syarikat minyak negara, PETRONAS menjadi penyumbang utama kepada negara melalui dividen dan cukai selama berdekad-dekad. Pada tahun 2024 sahaja, sumbangan PETRONAS kepada kerajaan berjumlah RM72.4 bilion, termasuk RM32 bilion dalam bentuk dividen. Menafikan hak syarikat ini untuk menerima bayaran sah, sedangkan ia terus memastikan loji beroperasi, adalah beban kewangan besar ke atas rakyat Malaysia.
Politik Sarawak dan Realiti Mahkamah
Apabila Shell Downstream menerima invois bertindih daripada PETRONAS dan PETROS, ada yang mengatakan mereka ‘terperangkap sebagai mangsa di Tengah pergelutan politik’.
Namun di sebalik kekeliruan itu, hakikat terbesar ialah antara kuasa dan politik negeri dan tuntutan hak minyak dan gas negara telah menunjukkan kuasa mutlak PDA74 terhadap Sarawak, yang selama ini menjejaskan kestabilan tadbir urus tenaga negara sehingga Shell MDS Sarawak terpaksa berhutang kepada PETRONAS sebanyak hampir RM 1 billion.
Mahkamah menangani perkara ini dengan jelas: patuhi PDA74, selesaikan isu undang-undang dengan segera tetapi dalam masa yang sama, gas tidak boleh diberi secara percuma atau dijual dengan syarikat lain. Ringkasnya, Shell perlu bayar apa yang dipersetujui dalam kontrak. dan penjualan-pembelian gas kontrak ini menunjukkan akta PDA74 masih berfungsi di Sarawak.
Dalam hal ini, keputusan mahkamah adalah keadilan nyata bagi PETRONAS ketika Shell MDS dilihat berterusan memihak kepada kerajaan negeri Sarawak, dan akur dengan kehendak eksekutif PETROS.
Di peringkat industri, pakar menyedari mesej tersirat keputusan ini. Shell Upstream atau syarikat kontraktor pengeluaran lain tidak pernah membuat aduan terbuka bahawa PETRONAS gagal melunaskan bayaran gas mengikut kontrak.
Masalah yang berpunca daripada Shell MDS yang menghentikan bayaran kepada PETRONAS atas tekanan PETROS, walaupun bekalan gas diteruskan seperti biasa.
Keseimbangan Dikembalikan
Keputusan Mahkamah ini satu pengakuan berlakunya ketidakadilan: satu pihak dipaksa terus membekal, sementara pihak lain menolak untuk membayar.
Shell MDS sepatutnya mula membayar secara konsisten sejak awal 2024, dan tidak membiarkan dirinya terheret dalam percaturan politik antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. PDA74 telah lama wujud, dipersetujui oleh pemimpin Sarawak sendiri, dikuatkuasakan selama berdekad-dekad, dan mengikat secara sah antara negeri dan persekutuan.
Jumlah hampir RM1 bilion yang tertunggak ini bukan isu teknikal kecil. Ia nilai besar yang penting bagi PETRONAS untuk membiayai telaga minyak, saluran paip, penyelenggaraan, serta secara tidak langsung menyokong kedudukan fiskal negara.
Hakikatnya, sepanjang kemelut ini PETRONAS telah terpaksa menggunakan sumber pendapatan lain untuk mensubsidi operasi Shell di Sarawak.
Dengan keputusan Mahkamah, beban tersebut berakhir. PETRONAS kini berpeluang memulihkan aliran tunai dan mengisi semula pelaburan huluan.
Implikasi Dasar dan Pelaburan
Keputusan Mahkamah adalah adil. Ia membolehkan PETRONAS memulihkan kerugian masa dan aliran tunai, sambil mengisi semula pelaburan huluan yang tertangguh.
Tema ini selari dengan pandangan ramai pemimpin perniagaan dalam wacana umum, termasuk Abdul Halim Hussin, bekas Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM).
Apabila mahkamah menegakkan kontrak dan kerangka tenaga negara, itu bukan bermaksud “memihak”; sebaliknya ia mempertahankan kepastian dan keadilan sesuatu yang amat diperlukan oleh rakan antarabangsa, pihak pembiaya, dan rakyat Malaysia sendiri.
Ini turut selari dengan penjelasan terbaharu Perdana Menteri bahawa PDA74 kekal sebagai kerangka induk. PETRONAS terus memegang kuasa nasional meskipun peranan aggregator Sarawak semakin berkembang. Isyarat dasarnya jelas: melabur, tetapi hormati peraturan.
Ada yang berhujah keputusan ini memperlahankan liberalisasi pasaran di Sarawak. Namun itu tafsiran yang salah. Mahkamah tidak menafikan peranan PETROS; ia hanya menolak moratorium pembayaran yang cuba dipaksakan atas alasan pertikaian komersial dengan PETROS.
Kesimpulan Mahkamah mudah tetapi tegas: Shell MDS mesti membayar apa yang diterima; isu aggregator perlu diselesaikan segera; dan sistem tenaga mesti dilindungi semasa perdebatan berterusan.
Penutup
Menyokong PETRONAS dalam hal ini bukan nasionalisme sempit; ia adalah kebijaksanaan industri yang berakar pada undang-undang. PDA74 memberikan mandat; PETRONAS menunaikan tanggungjawab dengan memastikan aliran gas tidak terhenti; manakala Mahkamah mengembalikan keseimbangan dengan mengarahkan bayaran dibuat serta membatalkan injunksi berat sebelah.
Keputusan ini meningkatkan keyakinan pelabur terhadap industri minyak dan gas Malaysia menstabilkan aliran tunai dan, yang paling penting, menegaskan bahawa PDA74 kekal sebagai rujukan utama dalam pertikaian masa depan antara PETRONAS dengan PETROS, atau mana-mana negeri lain.
Di Malaysia, institusi negara bukanlah “mesin ATM” untuk mereka yang mempermainkan injunksi atau silap mentafsir undang-undang negeri. Undang-undang Persekutuan mesti dipertahankan demi menjamin keselamatan tenaga generasi akan datang.



