Pemaju Kg Sungai Baru jangan jadikan kes mahkamah alasan lengah pembinaan, tak ada duit bagi UDA bangunkan – Johari Ghani

KUALA LUMPUR – Syarikat pemaju yang bertanggungjawab terhadap projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru diingatkan tidak menjadikan isu mahkamah sebagai alasan untuk melengahkan pembinaan dua blok kediaman yang telah tertangguh sejak lebih lapan tahun lalu.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana penduduk terutamanya penghuni flat yang telah dipindahkan sekian lama masih menanti untuk kembali ke penempatan asal mereka seperti yang dijanjikan oleh pihak pemaju.

Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata lagi, isu yang sedang dalam proses perundangan hanya melibatkan penduduk rumah teres dan tidak ada kaitan langsung dengan projek rumah flat yang telah pun dikosongkan dan tapaknya diratakan.

“Paling penting sekarang ini saya menyokong supaya pemaju cepat menyiapkan dua unit blok kediaman ini kerana penduduk yang pindah ini, sudah lebih lapan tahun, mereka nak balik tempat mereka.

“Jadi pemaju ini jangan mengambil peluang melengahkan pembangunan semula dengan menggunakan alasan ada kes mahkamah.

“Sebab sekarang ini sangat jelas, (pemaju) pergi ambil tanah rumah teres, nilainya penduduk tak setuju, jadi penduduk bawa pergi mahkamah untuk dapatkan nilai yang betul.

“Jadi kalau dah ada kawasan yang lapang itu, yang pemaju dah robohkan semua apa lagi pemaju tunggu, buat lah. Kenapa dia nak tunggu gunakan alasan mahkamah?” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tanah Persekutuan Sempena Sambutan Hari Tanah Negara Ke-9 Tahun 2025 lapor Utusan di Putrajaya.

Mengulas lanjut, Johari yang turut memangku tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam memberi peringatan kepada pihak pemaju agar tidak mengambil kesempatan terhadap isu yang berlaku untuk melengahkan projek pembangunan tersebut.

“Cakap sahaja kalau tak ada duit, bagi kat UDA (UDA Holdings Berhad) suruh UDA buat,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat