KUALA LUMPUR – Kenyataan berbaur sindiran terhadap rakan komponen Perikatan Nasional (PN) disifatkan tidak wajar, tidak berhemah dan berpotensi meretakkan perpaduan gabungan parti yang kini sedang mempersiapkan jentera menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Setiausaha Bahagian Bersatu Damansara Aliff Taufid berkata, kenyataan tersebut jelas tidak menghormati maruah serta pengorbanan rakan-rakan komponen dalam PN.
“Sindiran seperti ini bukan sahaja memperlekehkan rakan seperjuangan, malah seolah-olah menafikan usaha bersama yang telah digembleng oleh semua pihak dalam PN.
“Memegang jawatan Ketua Pengarah Pilihan Raya tidak bererti kita berhak menempelak rakan komponen secara terbuka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau mengulas ucapan penggulungan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Sanusi Md. Nor pada Muktamar Tahunan Pas ke-71 di Alor Setar, Kedah semalam yang menyentuh mengenai kos kempen pilihan raya.
Dalam ucapannya, Sanusi menjangka Pas memerlukan sehingga RM1 juta bagi setiap kerusi Parlimen yang ditandingi serta menggesa ahli parti memberi perhatian kepada soal kewangan.
“Kawan-kawan kita yang tak cari duit dan tak ada jentera, mungkin boleh gantung kain batik dan kain pelekat. (pilihan raya) mahal oi, bukan murah,” katanya.
Aliff turut mengingatkan Pas bahawa kekuatan PN lahir daripada semangat saling melengkapi antara parti komponen termasuk pengorbanan Bersatu yang turut membolehkan Pas menikmati kedudukan dalam kerajaan sebelum ini.
“Jangan kita lupa, selepas krisis politik lalu, Sanusi dilantik sebagai Menteri Besar Kedah hasil persetujuan bersama parti komponen PN yang menyokongnya. Kejayaan PN adalah hasil usaha kolektif, bukan sumbangan satu pihak semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, PN tidak boleh dilihat berpecah hanya kerana ada pimpinan yang meluahkan emosi dalam ucapan rasmi kerana hal itu hanya menguntungkan pihak lawan.
“Sekiranya ada isu kewangan atau logistik, ia sepatutnya dibincangkan dalam mesyuarat tertutup PN, bukannya di khalayak umum. Kenyataan sebegini hanya membuka ruang kepada musuh politik untuk melaga-lagakan kita,” katanya.



