KUALA LUMPUR, – Aerotrain KLIA yang baru sahaja dilancarkan semula pada 1 Julai lalu kini terus mengundang kemarahan rakyat selepas dilaporkan mengalami lima kali gangguan dalam tempoh dua bulan sahaja, meskipun kerja naik taraf bernilai RM456 juta telah dilaksanakan.
Insiden terbaru berlaku pada 3 September apabila salah satu tren mengalami gangguan bekalan elektrik sekitar jam 1.36 tengah hari dan hanya kembali beroperasi pada jam 4.24 petang. Situasi ini bukan sahaja menyusahkan penumpang, malah mencemarkan imej Malaysia di mata dunia kerana KLIA Terminal 1 merupakan pintu masuk utama negara.
Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung, berkata masalah Aerotrain ini mencerminkan kegagalan kepimpinan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang dilihat tidak mempunyai strategi jelas dalam menangani isu berulang tersebut.
“Apa gunanya membelanjakan RM456 juta wang rakyat jika tren masih kerap rosak? KLIA adalah simbol negara. Kelemahan ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi kegagalan pengurusan dan kepimpinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Saw turut mengkritik tindakan Anthony Loke yang sebelum ini mengumumkan tiada kegagalan pada sistem Aerotrain, walhal realiti menunjukkan keadaan yang semakin meruncing.
“Rakyat tidak perlukan alasan lemah. Jika Menteri masih gagal menguruskan masalah ini, beliau wajar meletakkan jawatan demi menjaga maruah negara,” tegasnya.
Isu Aerotrain terus menjadi bahan perdebatan kerana melibatkan perkhidmatan asas di lapangan terbang antarabangsa utama negara. Gangguan berulang bukan sahaja menjejaskan ribuan penumpang setiap hari, malah menimbulkan persoalan tentang keberkesanan projek naik taraf bernilai ratusan juta ringgit itu.-Suara.TV



