KUALA LUMPUR, – Kerajaan mahukan aplikasi atas talian Tiktok lebih serius menyekat pengguna bawah umur 13 tahun daripada mengakses platform mereka bagi melindungi keselamatan kanak-kanak daripada terdedah kepada kandungan tidak sesuai.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihak kementerian mendapati antara pelanggaran yang dilakukan oleh platform media sosial termasuk TikTok ialah kewujudan akaun pengguna bawah umur yang jelas melanggar garis panduan komuniti platform itu sendiri.
“Semakan mendapati sistem sedia ada gagal menapis pengguna bawah umur. Malah, ramai murid sekolah rendah sudah mempunyai akaun TikTok walaupun garis panduan TikTok sendiri melarang mereka berusia bawah 13 tahun,” katanya selepas mesyuarat bersama wakil TikTok, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), serta Jabatan Peguam Negara (AGC) di Bukit Aman hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar dan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Fahmi menegaskan TikTok perlu memuktamadkan mekanisme yang berkesan bagi mengesahkan umur pengguna. Antara langkah yang boleh dipertimbangkan termasuk penggunaan proses pengesahan identiti elektronik (e-KYC) serta menyekat ciri tertentu seperti komen atau perkongsian video sehingga proses verifikasi selesai.
“Kaedah ini telah dilaksanakan di negara seperti Singapura, Australia dan China, di mana beberapa ciri platform disekat jika pengesahan identiti tidak dibuat. Kita beri masa kepada TikTok untuk menentukan langkah yang perlu diambil,” katanya.
Mesyuarat itu turut menyentuh kerjasama TikTok dengan pihak polis dalam menangani isu berita palsu termasuk kes video tular baru-baru ini melibatkan individu yang mendakwa dirinya pakar bedah dalam kes Zara Qairina Mahathir.
Fahmi berkata pihak berkuasa juga bimbang dengan kandungan tidak bermoral termasuk bahan berunsur pedofilia yang dikesan menerusi Op Pedo, membabitkan kumpulan atas talian seperti “Geng Budak Sekolah” yang berlegar di WhatsApp dan Facebook.
“Kami lihat masih ada platform yang tidak mengambil isu ini dengan serius. Dialog seperti ini akan diteruskan dan kami akan tekankan bahawa undang-undang Malaysia terpakai dan mesti dipatuhi. Semua platform akan dipanggil,” tegasnya.



