KUALA LUMPUR- Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal mencapai kata sepakat untuk bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah meskipun pertemuan sudah diadakan di antara tiga pemimpin tertinggi parti berkenaan.
Ia susulan pertemuan antara Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor baru-baru ini.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, perbincangan tersebut tidak boleh diteruskan kerana GRS bertegas ingin mengambil kerusi yang ditandingi BN, sekali gus perbincangan terhenti setakat itu sahaja.
Tegasnya, BN konsisten membuat keputusan muktamad untuk hanya bekerjasama dengan PH pada PRN akan datang.
“Tidak ada keputusan, tidak ada perbincangan sebab perbincangan tidak boleh diteruskan. Inilah keputusan kita, hanya dengan PH, tiada dengan GRS. Kita ingin berbincang dan kita juga mahu pertahankan 14 kerusi yang dimenangi sebelum ini.
“GRS ingin mengambil enam kerusi kita, jadi mana boleh, sebab itu tiada perbincangan yang boleh diteruskan,” lapor Utusan.
18 Ogos lalu, Perdana Menteri mengadakan pertemuan dengan Ahmad Zahid dan Hajiji di Putrajaya.
Jelas Anwar, pertemuan tersebut diadakan dalam suasana harmoni, sekali gus mencerminkan kematangan politik serta iltizam memperkukuh kerjasama demi kestabilan negara, khususnya dalam konteks hubungan antara Putrajaya dan Sabah.
Kata Anwar lagi menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya, kestabilan politik menjadi asas penting dalam menjayakan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Mengulas lanjut, Bung Moktar turut berkata, setiap perbincangan perlu ada persetujuan bersama namun perkara itu gagal dicapai, sekali gus menjelaskan BN hanya akan meneruskan kerjasama dengan PH buat masa ini.
“Jadi apabila dia tidak setuju, maka tidak ada lagi perbincangan. Daripada 14 kerusi kami, dia ambil enam. Mana boleh okay,” ujarnya.



