KOTA KINABALU, – Sabah menjadi lokasi ketiga dan terakhir penganjuran Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 selepas Johor dan Pahang, dengan penekanan khusus kepada penerapan teknologi masa hadapan dalam kalangan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), terutama sektor kesihatan.
Majlis perasmian program berlangsung hari ini dan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi), Kementerian Komunikasi, Encik Mano Verabathran.
Menurut beliau, penganjuran ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan PMKS tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital, seiring hasrat memperkukuh ekosistem kesihatan negara yang lebih cekap, inklusif dan mampan.
“Sabah dipilih kerana potensi besar serta daya saing komuniti tempatan yang unik. Negeri ini kini menjadi pemangkin kesihatan masa hadapan, khususnya selepas pengumuman Perdana Menteri mengenai penggunaan dron bagi penghantaran ubat di Tawau serta kerjasama strategik antara MCMC dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memperluas teknologi baharu sektor kesihatan,” katanya.
GDPM Fest 2025 menumpukan usaha membawa inisiatif digital ke akar umbi, dengan pendekatan dekat bersama komuniti perubatan serta usahawan kesihatan tempatan. MCMC dalam masa sama meningkatkan kesedaran tentang Guideline on Online Healthcare Services (OHS), sebagai panduan memastikan penggunaan platform kesihatan digital lebih selamat, bertanggungjawab dan beretika.
MCMC yakin sinergi dengan rakan strategik daripada sektor awam dan swasta akan memperkukuh transformasi digital kesihatan negara, sekali gus mengubah pengalaman rakyat Sabah dalam mendapatkan rawatan.
Turut hadir pada program tersebut ialah pegawai kanan MCMC bersama wakil Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Simpanan Nasional, Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia, penyedia perkhidmatan, serta syarikat teknologi kesihatan masa hadapan.-SUARA.TV



