Saifuddin akan fail rayuan terhadap keputusan saman fitnah Sanusi

KUALA LUMPUR, – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar yang hari ini memihak kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam saman fitnah berkaitan kenyataannya pada Julai 2023.

Dalam kenyataan medianya, Saifuddin merakamkan penghargaan kepada mahkamah atas masa dan pertimbangan yang diberikan sepanjang prosiding berlangsung. Namun beliau menegaskan bahawa terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk mencabar keputusan tersebut.

“Setelah meneliti keputusan bersama pasukan guaman, saya berpendirian bahawa terdapat asas undang-undang yang kukuh untuk dirayu.

Justeru, saya telah mengarahkan peguamcara saya untuk segera memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Saya juga akan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan berkenaan sementara menunggu proses rayuan selesai,” katanya.

Saifuddin menambah bahawa beliau tetap berpegang kepada prinsip keluhuran undang-undang dan percaya sistem kehakiman negara akan memberikan ruang yang adil untuknya mengemukakan hujah dan mempertahankan kebenaran.

Beliau juga menegaskan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan pada 14 dan 15 Julai 2023 dibuat atas dasar tanggungjawab sebagai pemimpin dalam menyuarakan isu kepentingan awam.

“Saya akan terus berpegang pada prinsip bahawa keterbukaan, integriti dan kebertanggungjawaban adalah asas penting dalam amalan demokrasi,” jelasnya.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Alor Setar memerintahkan Saifuddin membayar ganti rugi berjumlah RM670,000 kepada Sanusi, selain membuat permohonan maaf secara terbuka serta mematuhi perintah injunksi kekal agar tidak mengulangi kenyataan fitnah yang sama.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat