KUALA LUMPUR – Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) di bawah kendalian Pas tidak pernah kekurangan tenaga pengajar selain ramai memohon untuk menjadi guru di pusat asuhan berkenaan meskipun sedar menerima elaun rendah.
Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata, guru Pasti bukan seperti kakitangan kerajaan sebaliknya bekerja secara sukarela dan mereka tidak pernah mengeluh dalam soal elaun yang diterima antara RM400 ke RM700 itu.
Memetik Utusan di Kangar Hashim berkata, tugas guru Pasti antara pukul 8 pagi sehingga 12 tengah hari sahaja dan kadar yuran dikenakan pula cukup rendah.
Katanya, Pas tidak mampu membayar elaun lebih tinggi kepada guru Pasti memandangkan sumber kewangan terhad dan pembayaran berdasarkan kemampuan.
“Walaupun murah (elaun) namun ramai yang nak jadi guru Pasti kerana ingin berkhidmat memberi pendidikan kepada masyarakat. Itulah sifat terpuji ditunjukkan guru-guru Pasti yang tidak pernah mengeluh kerana elaun dibayar itu adalah mengikut kemampuan.
“Pasti menjadi antara produk Pas yang sangat berjaya dan memberi impak cukup besar kepada pendidikan di peringkat prasekolah. Malah, sistem pendidikan prasekolah Pasti antara yang terbaik di Malaysia.
“Silibus serta nilai-nilai Islam yang diterapkan untuk kanak-kanak menjadikan Pasti terus menjadi pilihan masyarakat pelbagai latar belakang bukan sahaja penduduk di kampung malah anak-anak golongan profesional,” katanya lapor akhbar itu.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, kadar gaji RM600 hingga RM700 guru Pasti bukan sahaja tidak menepati perintah gaji minimum, malah melanggar Akta Majlis Perundingan Gaji Negara.
Malah Nik Nazmi turut mendakwa guru Pasti tidak mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden memaklumkan, guru Pasti berkhidmat secara sukarela tanpa menuntut imbuhan tinggi kerana yuran pelajar yang rendah selain menyangkal tuduhan Nik Nazmi kononnya guru pusat asuhan berkenaan tidak mencarum KWSP dan Perkeso.
Sebagai rekod, Pasti yang mula beroperasi sejak tahun 1980 terus berkembang pesat dengan pada masa ini sebanyak 139,000 murid belajar di pusat asuhan berkenaan membabitkan 2,680 premis di seluruh negara serta 9,002 guru.
Tambah Hashim, Pasti juga menyeimbangkan soal pendidikan dan agama.
“Berada di Pasti, kita latih mereka sembahyang fardu dan sunat selain aspek dan nilai-nilai Islam yang lain,” katanya.



