KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan kepada polis mengenai dakwaan Bloomberg berlaku campur tangan Perdana Menteri dalam urusan SPRM.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, berdasarkan input yang diterimanya, kertas siasatan oleh polis sudah pun dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata meskipun hak kebebasan bersuara terjamin di bawah Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan, yang memperuntukkan bahawa setiap warganegara berhak untuk bebas bersuara dan menyatakan pandangan, ia bukanlah bersifat mutlak.
Jelasnya, ia masih tertakluk kepada sekatan yang dibenarkan di bawah Perkara 10 (2) (a) Perlem”Kerajaan ingin menegaskan bahawa kita tekad untuk mempertahankan hak kebebasan ini selaras dengan semangat demokrasi dan prinsip-prinsip Perlembagaan.
“Bagi kes-kes fitnah, ia tertakluk di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, dan untuk makluman Ahli Yang Berhormat, tiada had masa ditetapkan bagi memfailkan tindakan jenayah berkaitan fitnah ini,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen, lapor BH pada Khamis.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai perancangan kerajaan dalam mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi berita Bloomberg atas dakwaannya mengenai campur tangan Kerajaan dalam siasatan SPRM berkaitan pembelian saham oleh bekas setiausaha politik Perdana Menteri.
Pada September tahun lalu, Bloomberg menerbitkan laporan memetik sumber yang mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam dakwaan ‘penyalahgunaan kuasa siasatan secara terancang’, membabitkan siasatan yang disasarkan oleh SPRM.
Laporan Bloomberg bertarikh 26 September 2024 juga mendakwa Anwar mengarahkan Azam supaya tidak menyiasat bekas pembantunya, Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, berhubung pembelian sahamnya dalam HeiTech Padu Bhd.



